KEMAMAN: Berpantang maut sebelum ajal.
Itulah nasib yang menimpa dua penghuni setelah terselamat daripada dihempap dinding batu rumah didiami mereka dalam kejadian tanah runtuh di Felda Neram 2, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 malam, Mohd. Saiful Bahari Ismail, 31, dan sepupunya, Wan Mohammad Ubaidilah Wan Mohamed, 22, terselamat apabila sempat melarikan diri selepas terjaga daripada tidur.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Saiful Bahari berkata, dia yang tidur di bilik berasingan di rumah sepupunya itu tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian atap.
“Selepas itu, secara tiba-tiba dinding bilik saya tidur runtuh dan simennya terjatuh di sebelah tilam saya, mujur tak terkena kepala,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Mohd. Saiful Bahari berkata, dia kemudiannya terus meluru keluar dari bilik dan menjerit untuk mengejutkan sepupunya yang tidur di bilik bersebelahan.
“Dalam sekelip mata sahaja, saya tengok bahagian dapur, tandas dan bilik yang saya tidur runtuh ke cerun belakang rumah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ibrahim Awang, 67, berkata, dia yang tinggal di rumah bersebelahan terkejut apabila terdengar bunyi pergerakan tanah sebelum melihat rumah jirannya runtuh disusuli dentuman yang kuat.
“Awalnya, pak cik ingatkan gajah menyerang tanaman belakang rumah, namun bila pak cik buka pintu belakang, pak cik tengok tiba-tiba tanah belakang rumah runtuh dan bila toleh ke tepi, rumah jiran pula roboh.
“Pak cik terus kejutkan semua ahli keluarga untuk keluar dari rumah menyelamatkan diri sebab bimbang rumah pak cik juga akan runtuh,” katanya yang bersyukur 10 ahli keluarganya termasuk anak perempuan dan bayi berusia 20 hari sedang berpantang terselamat.
Ibrahim yang mendiami di rumah tersebut sejak 35 tahun lalu berkata, dia mengesyaki kejadian itu berlaku akibat hakisan tanah di tebing alur sungai belakang rumahnya.
“Pak cik memang tak sangka berlaku kejadian ini sebab hujan tidak terlalu lebat pada awal pagi kejadian. Namun, minggu lepas, bila hujan lebat, kawasan belakang rumah memang dilimpahi air sungai. Mungkin itu salah satu faktor tebing belakang rumah ini runtuh,” ujarnya.
Ibrahim memberitahu, kejadian tanah runtuh itu turut menyebabkan rumahnya retak dan tidak selamat diduduki kerana boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja. – UTUSAN










