TIAP kali bangun pagi, perkara pertama difikirkan adalah adakah dia masih bernyawa?.
Ketakutan dan keresahan yang menghantui Shahizan Zainuddin, 44, berasas, selepas beliau berdepan lapan episod keguguran sepanjang 17 tahun berjuang mendapatkan zuriat.
Jumlah itu termasuk tiga kali rawatan persenyawaan in vitro (IVF) dijalani, namun semuanya berakhir dengan kehampaan, kesakitan dan air mata.
“Mana-mana wanita senasib pasti takut dan cemas ‘hilang’ bayi dalam kandungan. Bohonglah kalau rasa itu tiada.
“Bangun tidur sahaja, saya cepat-cepat usap perut, demi memastikan bayi masih ‘ada’, masihkah ada pergerakannya di situ?,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Wanita asal Kuala Lumpur ini berkongsi rasa berhubung kekerapannya gugur akibat masalah pangkal rahim terlalu lembut atau cervical insufficiency.
Bukan mudah melihat anak ‘pergi’ dalam keadaan seperti itu.
Setiap kali episod keguguran berlaku, Shahizan akan ‘berkabung’ dan menangis sepuas-puasnya.
Namun, naluri keibuan dan hasrat untuk hamil tidak pernah pudar di sebalik masalah kesihatan
dialami iaitu Sindrom Ovari Polikistik (PCOS), obesiti sejak kecil, darah tinggi dan diabetes.
Tidak cukup dengan rawatan, pelbagai ubat-ubatan berkaitan kehamilan yang ada di pasaran turut dibeli.
Walaupun terpaksa mengerah kudrat, usaha, masa dan wang ringgit melebihi RM100,000, tetapi semua itu sanggup dikorbankan demi merealisasikan impian bergelar ibu.
Hampir dua dekad berusaha, suri hati kepada warga Nigeria, Othman Faruq Onwubiko, 56, ini cuba berdamai dengan takdir dan pasrah jika tidak dikurniakan cahaya mata.

“Selepas menjalani rawatan IVF terakhir di Johor pada 2022, saya sekali lagi mengandung tetapi nasib sama berulang apabila kandungan gugur.
“Bohonglah jika tidak sedih tetapi saya cuba ber kiran positif dan terima hakikat mungkin tiada rezeki untuk dapat anak sebab umur sudah lanjut,” kongsi kakitangan syarikat perbankan itu.
KEAJAIBAN BERLAKU
Di saat dirinya sudah berhenti berharap, Shahizan dikejutkan dengan berita gembira kehamilan ke-9.
Kehamilan yang tidak diduga itu berlaku selepas sebulan keguguran daripada rawatan IVF.
Hatinya tergerak untuk melakukan ujian kehamilan kerana pelik melihat rambutnya tiba-tiba gugur luar biasa.
“Bekalan alat ujian kehamilan sentiasa ada di rumah, jadi saya pun buat pemeriksaan beberapa kali di samping ke klinik dan didapati keputusan positif.
“Selepas berbincang dengan suami, saya berjumpa pakar perunding Obstetrik dan Ginekologi, Prof. Dr. Imelda Balchin untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut kerana takut situasi sama berulang disebabkan usia dan komplikasi penyakit,” katanya.
PANGKAL RAHIM LEMBUT
Memasuki minggu ke-13, barulah Shahizan mengetahui yang selama ini pangkal rahimnya terlalu lembut dan
tidak dapat menampung kehamilan.
Penyelesaian terbaik yang diambil Dr. Imelda adalah dengan melakukan pembedahan Shirodkar.
Shirodkar adalah kaedah mengikat pangkal rahim dalam kalangan wanita yang berdepan masalah berkenaan.
Wanita hamil perlu melaluinya sehingga minggu ke-36 kehamilan.
Ia terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko keguguran di pertengahan kehamilan dan kelahiran pramatang.
“Selepas pembedahan Shirodkar, saya alami pendarahan teruk tetapi keadaan stabil dan dapat keluar hospital keesokannya.
“Sesiapa yang melakukan prosedur Shirodkar boleh menjalani rutin harian seperti biasa tanpa perlu baring di katil, malah seminggu selepas pembedahan, sudah boleh berjalan sejauh 5 kilometer,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut melalui prosedur melalui ujian darah pada minggu ke-12 bagi memeriksa kromosom.
Langkah itu bertujuan mengesan sekiranya bayi dalam kandungan mengalami sebarang kecacatan.
“Sejak pertemuan pertama lagi Dr. Imelda sudah menerangkan risiko-risiko yang akan saya tempuhi
disebabkan usia lanjut dan risiko mendapat bayi cacat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ujian kromosom lulus dan bayi didapati sihat,” katanya.

HAMIL 36 MINGGU
Sepanjang 17 tahun berjuang untuk hamil, ini merupakan kali pertama kandungannya menjangkau sehingga 36 minggu.
Sebelum ini, tempoh paling lama pernah direkodkan hanya 21 minggu menerusi kehamilan sulung.
Katanya, kehamilan pertama itu dicatatkan selepas tiga bulan mendirikan rumahtangga pada 17 September 2005.
“Tetapi bayi saya meninggal dunia setelah 30 minit dilahirkan.
“Semasa hamil kali ke-9, saya tiada pengalaman mengandung hingga cukup tempoh sembilan bulan dan
lega proses itu berjalan lancar dengan pemantauan rapi oleh doktor pakar termasuk kardiologi, darah tinggi dan mata,” katanya.

AMEENA TERINDAH
Penantian untuk bergelar ibu bapa berakhir dengan kehadiran Ameena Ooduelanma Onwubiko, 1, pada 20 Disember 2022.
Bayi perempuan comel itu bukan sahaja membawa 1,001 kebahagian, malah menjadi anugerah terindah buat
pasangan suami isteri ini.
Shahizan berkata, kehidupan mereka kini lengkap dengan adanya Ameena di sisi.
“Masa berlalu pantas, Ameena makin becok mahu bercakap dan kini bertatih untuk berjalan.
“Sekejap sahaja dia sudah besar dan kami teruja untuk meraikan hari lahir pertamanya di kampung halaman suami,” katanya yang kini berada di Nigeria dalam percutian selama sebulan.
Menurut Shahizan, suami merupakan sumber kekuatannya yang banyak memberi sokongan dan bimbingan agar tidak putus asa dalam menempuhi perjalanan itu.
“Di dewan bedah, saya turut mengalirkan air mata apabila melihatnya menangis ketika mendakap cahaya mata kami yang dinanti-nantikan sejak berbelas tahun lamanya,” katanya sebak.
Beliau turut berdoa agar mereka dipanjangkan usianya untuk membesarkan puteri tercinta hingga dewasa.
DOA SENJATA
Doa merupakan senjata bagi orang beriman dan Shahizan tidak putus-putus berdoa kepada Ilahi agar dikurniakan zuriat.
Beliau juga tidak segansilu mengirimkan doa kepada kenalan atau saudara-mara yang menunaikan ibadah di tanah suci sebagai salah satu ikhtiarnya
“Allah Maha Mendengar dan Dia tahu masa yang terbaik untuk memberikan rezeki.
“Bayangkan, saya berkahwin pada umur 26 tahun tetapi tiada rezeki untuk jadi ibu di masa muda dan peluang itu hanya dinikmati ketika berusia 43 tahun,” katanya.
Antara amalan lain dilakukan Shahizan ialah sentiasa bersedekah walaupun nilainya kecil dan menyamai
harga sebungkus nasi lemak.

CISM bantu wanita
KEINGINAN membantu wanita senasib, mendorong Shahizan dan rakan-rakan menubuhkan persatuan,
Cervical Insufficiency Society of Malaysia (CISM).
Sejak ditubuhkan pada 2022 ia sudahpun menarik keahlian seramai 115 orang dengan kebanyakannya
adalah pesakit Dr. Imelda.
Shahizan menggalas tanggungjawab sebagai Naib Presiden CISM berkata, penubuhan persatuan itu bertujuan
membantu ibu-ibu, khususnya daripada segi motivasi dan sokongan, kerana faham perasaan
kehilangan anak di lewat kehamilan.
Lebih daripada itu, untuk membina kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kelahiran pramatang yang boleh dihalang, jika masyarakat faham mengenai pangkal rahim lembut.
“Menariknya, persatuan turut menyediakan bantuan kewangan bagi mana-mana ibu yang kurang berkemampuan
untuk menjalani prosedur pembedahan Shirodkar yang mencecah RM10,000 seorang.
“Setakat ini seramai enam orang sudah menerima manfaat tajaan itu manakala empat lagi
masih menunggu giliran,” katanya.
Kutipan derma awam turut digerakkan bagi membiayai kos pembedahan dengan jumlah terkumpul sebanyak
RM5,534, sehingga 5 Disember lalu.










