MELAKA: Sebanyak 1,000 kuota ditawarkan kepada lepasan jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu di China, terutama dalam bidang automotif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu merupakan kuota baharu yang mana sebelum ini 200 pelajar telah dihantar ke sana.
Katanya, Kerajaan China bersetuju membiayai sepenuhnya kos pengajian di negara itu termasuk penginapan dengan tempoh kursus antara tiga bulan hingga setahun.
Jelasnya, kos penerbangan pergi dan balik yang sepatutnya ditanggung pelajar pula akan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Tawaran itu adalah untuk 1,000 pelajar terutamanya dalam bidang automotif dan mereka cuma meminta supaya tiket kapal terbang sahaja yang dibiayai oleh pelajar-pelajar.
“Tetapi apa yang telah kami putuskan bahawa Mara akan membiayai tiket penerbangan pergi dan balik untuk pelajar-pelajar TVET kita dan Kerajaan China akan membiayai 100 peratus kursus itu termasuklah penginapan dan lain-lain kos di sana.
“Ini adalah satu tawaran yang baik dan saya telah meminta agar 1,000 tempat ini dibahagi-bahagikan di kalangan institusi-institusi TVET yang ada termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu universiti yang mengajarkan bidang teknikal ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselor, UTeM di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara (MTVET) berkata, ekosistem TVET Malaysia yang kompleks memerlukan pengurusan dan kehendak politik (political will) yang tinggi daripada semua menteri terlibat.
“TVET akan memperkukuh dan memperkasa negara kita untuk menangani isu-isu daripada segi penggunaan tenaga kerja daripada luar negara,” katanya. – UTUSAN










