LAMA menyepikan diri dalam dunia seni hiburan, itu tidak bermakna pelakon dan penyanyi ini sudah tidak lagi sudi memandang gelanggang yang pada suatu ketika pernah menyaksikan zaman kegemilangannya.
Bukan tiada sebarang projek baharu, tetapi kata Datin Seri Umie Aida, sesekali untuk melepaskan rindu, tiada salahnya jika dia memilih naskah yang baik demi melunaskan kepuasan terhadap bidang lakonan.
Kata Umie, ini kerana, caranya memberi sumbangan sebagai anak seni kini mungkin sedikit berbeza berbanding cuma tertumpu pada dunia lakonan semata.
Kini lebih selesa memfokus kepada penubuhan Musolla Aishah yang giat diaktifkan sejak tiga tahun lalu, Umie tidak menolak bahawa itulah yang memberi keseronokan kepadanya, peluang meraih dan berkongsi ilmu agama dengan semua orang.
“Tak dinafikan saya sekarang dah seronok dengan rezeki baharu dalam mengadakan dan menyertai majlis ilmu. Sebab itulah kalau ada masa, baru saya kembali berlakon.
“Bukan tiada langsung. Macam baru-baru ini pun sudah tiga buah drama yang saya sudah buat dan akan ditayangkan pada tahun ini.
“Kalau lama tak berlakon, memang masa itu saya akan gunakan sepenuhnya untuk perkembangan dan aktiviti Musolla Aishah,” katanya.
Selain membukanya kepada orang ramai yang berminat, Umie juga gembira kerana penubuhan Musolla itu banyak menarik minat rakan artis yang ingin mendekatkan diri dan menambah ilmu dalam bab agama.
Katanya, ia satu perkara yang positif kerana secara tidak langsung, artis dan rakan selebriti berpeluang menyertai program keagamaan seperti bacaan Al-Quran yang disediakan di Musolla Aishah.
“Banyak aktiviti dan program keagamaan yang telah dianjurkan dan saya pun seronok bila tengok ramai rakan artis dan selebriti pun berminat turut serta. Ramai sangka dunia seni ini dan artis ini dengan perkara tak baik sahaja.
“Ini satu cara kita boleh beri kefahaman kepada semua bahawa semua orang termasuk golongan selebriti pun boleh berusaha memperbaiki kelemahan diri menerusi kelas-kelas agama dan majlis ilmu,” katanya.
Jelas Umie, sebagai artis, dia juga sedar golongan artis antara yang sering sukar istiqamah dalam usaha melakukan jalan kebaikan.
“Saya tahu kerana saya sendiri pun begitu. Istiqamah ini bukan satu perkara mudah kerana dalam industri seni ini banyak pancarobanya. Tetapi kita sendiri yang kena seimbangkan dan kena tahu kelemahan diri.
“Kita kena lebihkan mendekati orang yang selalu ke majlis ilmu supaya kita pun boleh turut istiqamah. Kalau tidak, kita sendiri pun akan ‘goyang’.
“Kita manusia bukannya kuat hadapi ujian kalau tak ajar diri supaya kuat. Kita akan cepat jatuh dan tewas. Jadi memang selalunya kenalah paksa juga diri itu untuk kekal istiqamah,” katanya.
Selain itu, jelas Umie, dia juga tidak pernah memandang serong kepada mana-mana artis atau selebriti yang mahu belajar dari bawah mengenai ilmu agama.
“Saya galakkan mereka ini untuk sama-sama sertai dan ikuti majlis agama, kita sama-sama belajar. Bagi saya, bila tak tahulah maka kita kena belajar sebab kalau tidak, nanti kita tak buat.
“Sama ada tak tahu atau kita tahu tapi buat sambil lewa. Sebagai rakan artis, kita kena saling mendukung usaha yang baik apa lagi untuk majlis-majlis ilmu yang mendatangkan manfaat buat kita,” katanya.
Sementara itu, berkongsi mengenai kerjasamanya dengan pengasas produk kecantikan terkemuka tanah air, Datuk Seri Alha Alfa, Umie mengakui teruja diberi peluang untuk mengeluarkan rangkaian minyak wangi di bawah jenama Alha Alfa Kosmetik (AAC).
Diberi nama Perfume AA X Umie Aida, Umie juga mencetuskan idea bagi menghasilkan video promosi rangkaian minyak wangi itu yang menyaksikan penggambarannya dilakukan di Dubai.
“Kalau nak tahu, saya yang minta Alha untuk buat penggambaran bersama Singa dan Harimau sebagai konsep video tersebut. Saya nak ada konsep-konsep jutawan Dubai untuk lancarkan koleksi minyak wangi ini.
“Pada mulanya Alha pun terkejut. Tetapi dia tetap realisasikan dan Alhamdulillah usaha kami berlangsung dengan lancar sepanjang penggambaran yang mencecah ratusan ribu ringgit itu,” katanya.










