Bergelar artis, ada harga yang harus dibayar - Neelofa - Utusan Malaysia

Bergelar artis, ada harga yang harus dibayar – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGUKIR perjalanan dalam dunia seni dan hiburan sejak 15 tahun lalu, pengacara dan selebriti terkemuka tanah air, Noor Neelofa, mengakui, ia bukan satu laluan yang mudah. 

Sebagaimana yang dilihat orang, dunia hiburan pada tanggapan sesetengah pihak begitu sarat dengan keindahan glamor dan populariti yang turut diiringi dengan kemewahan.  Semua itu bagi Neelofa mungkin secara luaran semata. 

Apa yang tersembunyi di balik tirai, kepayahan dan ‘sakit’ perih yang dipikul atas tiket gelaran seorang artis itu ada kemungkinan tidak ingin pun diketahui orang. 

“Saya pernah ditanya susah ke menjadi Neelofa ini? Setiap inci dalam kehidupan diperhatikan, salah laku yang sentiasa dicari orang sebab kita ini artis. 

“Bagi saya, kita semua pun ada hari yang akan rasa susah, ada ujian, ada pengalaman yang tidak manis. Saya rasa sama sahaja. 

“Cumanya, tak dinafikan, menggalas tanggungjawab sebagai selebriti atau artis ini lebih lagi. Seakan ada harga yang harus dibayar,” katanya. 

Berkongsi lanjut, kata pelakon berusia 35 tahun ini, dia juga sering membayangkan bagaimana agaknya kehidupan seharian golongan selebriti di Hollywood yang tentunya lebih sukar dan mencabar kerana industri seni hiburan mereka lebih mendunia. 

“Kalau tengok mereka, saya terfikir, macam manalah agaknya mereka ini kendalikan segala macam perihal sebab seputar kehidupan mereka menjadi bahan bualan satu dunia.

“Apabila sesuatu krisis berlaku, sama ada gosip, kontroversi atau hal-hal lain yang berat membabitkan diri dan kerjaya, bagaimana mereka tangani? Disebabkan kita ini selebriti maka semua itu mahu atau tidak kita kena hadapi. 

“Adakala memang terpaksa lupakan soal privacy. Jujur saya katakan, masa mula-mula bergelar selebriti, saya tak boleh hadam dan banyak perkara dipersoalkan sebab tak boleh terima. 

“Contohnya, waktu awal-awal dulu, saya tak faham kenapa masa raya ramai nak datang rumah dan ajak bergambar sedangkan masa raya kita nak luangkan masa dengan keluarga. Dari situ saya belajar yang jadi artis ini, memang ada perkara yang kita kena korbankan termasuklah me time sendiri,” katanya. 

Andai dapat putar waktu

Melayangkan pertanyaan kepada anak jati Pasir Mas, Kelantan ini mengenai masa lalunya, kata Neelofa, andai sahaja dia diberi peluang kembali ke masa lalu, tentunya ada banyak perkara yang ingin diubah.

Pun begitu, tidak semuanya harus diubah kerana baginya, apa yang diaturkan oleh Allah S.W.T itulah yang telah menjadikan siapa dirinya sekarang.

Namun, satu daripada angan-angannya, kata Neelofa, seandainya dapat diputar waktu, antara hasratnya adalah untuk mendalami lebih banyak ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

“Kalau saya diberi peluang untuk kembali dalam lingkungan usia 20-an, ada banyak benda yang saya nak buat. Sebabnya, sekarang ini, bila kita sudah tumbuh dewasa dan ada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, fokus tentunya sudah berbeza.

“Ketika usia 20-an itulah masa untuk membentuk peribadi masa depan, nak cuba benda baharu. Kalau boleh, saya nak sangat belajar macam-macam.

“Contohnya, ambil kursus tertentu seperti pengajian bahasa atau apa sahaja ilmu yang boleh menyumbang kepada masa depan. Bila fikir semula, usia begitulah waktu di mana kita sedang melabur masa, tenaga, tumpuan, pengalaman yang akan menyumbang kepada masa depan kita,” katanya.

Menurut Neelofa, barangkali usaha seperti itu dilihat kecil bagi sesetengah orang, namun tidak buat dirinya.

“Bagi saya, pelajaran adalah penting kerana ia akan menumbuhkan hasil pada usia kita menjelang 30-an dan ke atas.

“Jadi, satu nasihat saya kepada semua terutama adik-adik yang masih muda, jangan pernah rasa pelajaran ini merupakan satu perkara yang sia-sia. 

“Sebab itulah saya katakan, kalau diberi peluang dapat putar waktu, saya nak betul-betul menikmati usia itu dan mengisinya dengan meraih ilmu sebanyak yang mungkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya