Bayar RM100 juta, kemuncup pun kami tak ‘tebang’ - Sanusi

Bayar RM100 juta setahun, kemuncup pun kami tak ‘tebang’ – Sanusi

sanusi
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menandatangani buku nukilannya yang dibeli pengunjung pada Pesta Buku Pokok Sena yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pokok Sena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Kedah terus menuntut RM100 juta setahun sebagai pampasan terhadap komitmen mengekalkan hutan simpan yang membawa manfaat besar kepada negara terutamanya berkaitan pertanian dan bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah tersebut tidak terlalu besar untuk dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan Kedah menjaga hutan di negeri ini termasuk 341,000 hektar di Ulu Muda.

Katanya, surat tuntutan tersebut dihantar setiap tahun kepada setiap Perdana Menteri sejak sekian lama namun tiada maklum balas diterima hingga kini.

“Mereka ada bajet lebih RM300 bilion setiap tahun sedangkan bajet Kedah cuma RM1 bilion saja. Hutan seluas itu kita tak dapat sentuh bagi menjaga bekalan air untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Bukan saja untuk keperluan hidup malah untuk saliran pertanian.

“Kedah disuruh berkorban termasuk tidak boleh membangunkan tanah demi penanaman padi yang menjadi makanan ruji penduduk negara ini tetapi duit, Kerajaan Persekutuan tak mahu beri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena di sini, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda yang didakwa terlalu drastik sejak kebelakangan ini berkemungkinan menjadi punca kepada masalah mendapan lumpur sehingga menyebabkan air di kawasan Empangan Muda menjadi keruh.

Menurut Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd. Sobri Ramlee, kerajaan negeri tidak boleh berterusan menafikan tiada kegiatan pembalakan dilakukan di hutan berkenaan atau kawasan berhampiran memandangkan kesan aktiviti di situ boleh dilihat dengan jelas.

Mengulas perkara itu, Muhammad Sanusi hairan mengapa ada pihak yang menuduh kononnya Kedah melakukan pembalakan di Ulu Muda hingga menyebabkan kawasan itu tercemar sedangkan penguatkuasaan peraturan, proses dan prosedur dilakukan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang merupakan agensi Kerajaan Persekutuan.

“Jabatan itu yang menguruskan hutan termasuk berkaitan had tebangan, saiz pokok serta had pengeluaran. Jadi mengapa ada pihak asyik hentam kerajaan negeri.

“Jadi untuk hentikan semua polemik itu, Kerajaan Persekutuan berilah RM100 juta kepada kita. Kalau tuntutan itu dipenuhi, jangankan pokok (balak), malah (rumput) kemuncup pun kami tak ‘tebang’ dan hutan itu akan dibiarkan tumbuh secara semula jadi,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana agensi daripada negeri lain untuk mencampuri urusan di Kedah termasuk berhubung penjagaan hutan di Ulu Muda.

“Kedah ada kedaulatan kepada wilayah sendiri dan hangpa jangan nak ajar kami buat itu dan ini demi kepentingan hangpa. Kalau hangpa bergantung kepada Ulu Muda untuk air bersih demi kehidupan, sila bayar harga untuk air itu dan kami akan pastikan bekalan tersebut cukup untuk sampai kepada hangpa.

“Kalau mereka bayar, maka mereka akan jadi pelanggan kami dan Kedah akan pastikan pelanggan ini terpelihara kebajikannya. Kalau terus ambil percuma, itu hang punya pasal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN