SUNGAI PETANI: Seorang pemancing bertuah apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM90,000 selepas dia mendaratkan seekor ikan keli seberat 7.5 kilogram (kg) dalam pertandingan memancing di Taman Songket Indah, di sini.
Roslan Abdul Rahman, 54, berkata, dia terpaksa ‘bertarung’ kira-kira 10 minit bagi memastikan ikan keli tersebut berjaya ditawan selain mengelak daripada terlepas daripada mata kail pada jorannya.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia rasa amat bertuah kerana baru setahun berjinak-jinak dalam aktiviti memancing secara pertandingan dan tidak menyangka dapat membawa pulang hadiah utama yang ditawarkan penganjur.
“Ketika sedang menarik ikan yang tersangkut pada mata kail, saya terpaksa mengerah sepenuh tenaga untuk mengelak ikan keli seberat 7.5kg itu daripada terlepas.
“Saya macam dah dapat agak bahawa bakal menang selepas melihat saiz ikan tersebut sebelum akhirnya jangkaan itu menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai pemenang utama,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Roslan yang berasal dari Malau, Baling dan hanya melakukan kerja-kerja kampung berkata, dia bersyukur kerana memenangi pertandingan itu dan akan menggunakan wang itu untuk keluarganya dengan sebaik mungkin.
Dalam pertandingan itu, dia berjaya menewaskan hampir 2,000 pemancing lain dan tempat kedua dimenangi oleh Mat Zaini Hassan, 42, yang membawa pulang wang tunai RM9,000 apabila berjaya memancing ikan keli seberat 7.4kg, sementara Mohd. Izwan Haron, 45, di tempat ketiga dengan tangkapan ikan sama seberat 6.5kg.
Sementara itu, Mat Zaini yang tinggal di Bandar Puteri Jaya, di sini turut teruja setelah berjaya menduduki tempat kedua selepas kali pertama menyertai pertandingan itu.
“Hanya perasaan gembira yang dapat digambarkan selepas mengetahui ikan keli yang saya dapat berjaya memenangi tempat kedua. Terkejut juga kerana kali pertama menyertainya sudah dapat habuan besar dan saya akan teruskan minat ini dalam pertandingan lain,” katanya.
Mohd. Izwan yang membawa pulang RM5,000 pula berkata, dia sememangnya merupakan pemancing tegar dan telah banyak menyertai pertandingan.
“Sebelum ini saya cuma memenangi hadiah saguhati beberapa kali dan kali ini amat gembira kerana meraih tempat ketiga dan memperolehi wang tunai sebanyak RM5,000,” katanya.
Pertandingan memancing di Kolam Tanjong, di sini yang mempunyai enam buah kolam dan boleh menempatkan sehingga 2,000 pemancing pada satu masa sering mendapat perhatian peminat aktviti itu termasuk dari luar negeri kerana menawarkan hadiah utama yang lumayan. –UTUSAN











