Bantu kami daftar PADU - Orang Asli

Bantu kami daftar PADU – Orang Asli

SEBAHAGIAN besar masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq yang tinggal di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan masih tidak mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU). - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di negeri ini berharap kerajaan dapat membantu mereka mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengelakkan kumpulan itu terus tercicir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, ketika ini kebanyakan masyarakat Orang Asli berdepan kesukaran berbuat demikian terutamanya dengan menggunakan telefon pintar.

“Cadangan saya, agensi berkaitan boleh masuk ke kawasan penempatan kami untuk membantu kami buat pendaftaran secara manual dengan mengisi borang.

“Walaupun berada di kawasan pedalaman, namun sebagai rakyat Malaysia kami berbesar hati jika dapat menjayakan agenda kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Pasir Linggi, Mohd. Alang Sakarwi juga berkata, masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman sentiasa berdepan masalah sekiranya perlu mengisi secara atas talian.

Katanya, selain tidak mempunyai gajet, kemudahan liputan telekomunikasi yang tidak menyeluruh juga menyukarkan mereka.

“Setiap bantuan yang diumumkan kerajaan adalah satu kebaikan kerana dapat membantu kami.

“Namun, masih ramai Orang Asli yang ketinggalan dalam arus pembangunan dan mereka tidak pandai menggunakan telefon pintar khususnya warga emas. Jadi saya harap lebih banyak program dilakukan secara berdepan termasuklah cara-cara untuk mengisi sistem PADU ini,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan pendaftaran sistem Padu sehingga kelmarin hanya mencatatkan jumlah pendaftar seramai 1,367,324 berbanding sasaran 29.8 juta orang memperlihatkan ada stigma menebal dalam kala­ngan rakyat terhadap inisiatif kerajaan tersebut.

Jumlah pendaftaran hanyalah kira-kira 4.7 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang perlu mendaftarkan diri dalam sistem berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN