KUALA LUMPUR: Polis menyita pelbagai jenis hartanah, kenderaan mewah, barangan kemas dan wang tunai milik sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dengan nilai mencecah RM9.72 juta.
Kesemua aset terbabit disita dan dibekukan polis susulan penahanan 11 ahli sindiket Geng Upik termasuk dalang utama yang bergelar Datuk.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu diambil menerusi Op Morava yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Katanya, sebanyak 42 akaun dibekukan bagi tempoh 27 Disember sehingga 19 Januari lalu termasuk lapan akaun baharu yang dibekukan dengan keseluruhannya bernilai RM1.86 juta.
“Polis turut membekukan 10 jentera dan 11 bidang tanah dengan keseluruhan bernilai RM2.81 juta.
“Selain itu, sebanyak 20 kenderaan dianggarkan bernilai RM6.77 juta, wang tunai RM35,041 dan barang kemas bernilai RM100,000 disita polis membabitkan keseluruhan sitaan berjumlah RM6.91 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, semalam.
Menurut Ayob Khan, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM9.72 juta.
Media semalam melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, polis sedang memburu lapan individu termasuk seorang bekas anggota polis dipercayai ahli sindiket dadah terbesar di Sabah.
Beliau berkata, kesemua individu tersebut dikenal pasti sebagai Haibil Kiraman (Haibil), 48, merupakan bekas anggota polis yang kali terakhir dilihat di Tawau, Sahairul Din Sabudin (Bantayan), 37, dan Absar Musa (Absar) 37.
Katanya, lima lagi individu yang terdiri daripada empat rakyat Filipina dan seorang wanita Indonesia dikenal pasti sebagai Hasan Syamsuddin (Nas Botak), Joel Edwin (Dedek), Muhammad Sing Harun Musa (Thambi), Manan Ungok (Mike) dan Rohani Mohd. Yunus (Karisa).
“Kesemua individu itu dipercayai terlibat dalam sindiket dadah dan kali terakhir dilihat di sekitar Sabah.
Dalam pada itu, Ayob berkata, tiga lagi ahli sindiket tersebut termasuk seorang wanita yang terlibat dengan sindiket pengedaran dadah Geng Upik akan dituduh di mahkamah pada 1 Mac ini. – UTUSAN










