Artis yang jadi mangsa kena buat penjelasan- Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Artis yang jadi mangsa kena buat penjelasan- Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff, mengakui bahawa dirinya belum pernah berdepan dengan isu penipuan menggunakan teknologi AI.

Pun begitu, perkara ini baginya sangat membimbangkan kerana reputasi seseorang artis atau selebriti itu mampu terjejas.

Justeru, Kaka menggesa supaya mana-mana artis yang menjadi mangsa segera membuat laporan dengan pihak berkuasa dan dalam masa yang sama tampil membuat penjelasan kepada masyarakat.

“Kalau sudah sampai menggunakan wajah dan suara kita persis diri kita yang sebenar, saya rasa ini seharusnya menjadi kebimbangan ramai. Bukan isu kecil. 

“Bayangkan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh raih keuntungan banyak mana jika lebih ramai pengguna dapat diperdaya dengan teknik itu? Artis dan selebriti yang dikatakan menjual ‘produk’ itu tak tahu pun wajah mereka digunakan. 

“Peminat dan pengikut pula mungkin ada yang mudah percaya. Namun saya nasihatkan sebelum mudah mengeluarkan wang ringgit, periksa dahulu sama ada iklan itu benar atau tidak. 

“Artis yang terkena pun segera buat penjelasan kepada orang ramai supaya mereka tidak tertipu,” katanya. 

Dalam pada itu, menurut Kaka, dia percaya jika isu ini boleh berlaku membabitkan nama artis terkemuka, tidak mustahil ia juga boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja. 

“Bila saya dengar antara artis yang terkena itu adalah artis yang bernama besar, rasanya tak mustahil boleh terkena kepada sesiapa termasuk saya sendiri. 

“Saya mohon dan berharap perkara ini tidak berlaku kepada diri sendiri. Saya tak nak terjebak dengan isu seperti ini apa lagi membabitkan wang bila ada yang mengalami kerugian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN