PUTRAJAYA: Rakyat diingatkan supaya tidak culas membayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi barangan yang diterimanya dari luar negara.
Ini kerana, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau juga seperti rakyat biasa, turut membayar cukai kepada JKDM bagi barangan yang diterima dari luar negara.
Anwar berkata, walaupun boleh merayu untuk tidak membayar cukai berkenaan sebagai kapasiti sebagai Perdana Menteri, namun beliau memilih untuk tidak melakukannya.
“Tahun lalu selepas beberapa bulan menjadi Perdana Menteri, sahabat lama saya orang Arab menghadiahkan saya satu tong minyak zaitun. Malah, dia (sahabat) tiap-tiap tahun bagi kepada saya.
“Tetapi tahun ini, JKDM Cawangan Klang kenakan cukai RM500 kepada saya. Saya kata saya bukan meniaga, tapi saya tidak mahu rayu.
“Saya hendak bagi contoh, kalau Perdana Menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain pun jangan menipu (culas bayar cukai),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia 2024 di sini, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menempelak segelintir orang kenamaan yang membuat pembelian beratus juta tetapi mengelak untuk membayar cukai kepada JKDM.
Katanya, beliau hanya menggunakan minyak zaitun itu untuk kegunaan sendiri dan bukannya untuk berniaga, namun beliau tetap membayar cukai kerana mahu memberi contoh baik kepada rakyat.
“Saya ingin rakamkan penghargaan kepada warga JKDM di atas perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Saya tabik anda,” katanya.
Pada masa sama, beliau memuji tindakan pantas JKDM membanteras aktiviti penyeludupan dadah yang mencecah jumlah yang besar.
“Jika ketegasan ini dapat dilakukan maka, saya beri jaminan bonus untuk warga JKDM akan lebih baik tahun ini,” katanya.
Sementara itu, sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42, Anwar memberi jaminan warga JKDM akan diberikan kadar bonus lebih baik tahun ini susulan prestasi kutipan cukai direkodkan jabatan itu.
Menurutnya, JKDM merekodkan pencapaian kutipan cukai melebihi sasaran ditetapkan tahun lalu dan ia satu pencapaian membanggakan.
“Saya hargai dan menaruh keyakinan sebab itu saya boleh beri jaminan bonus tahun ini lebih baik dari sebelumnya,” katanya.
Tahun lalu, JKDM mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selain jaminan kadar bonus lebih baik, kerajaan juga akan memberi fokus terhadap menaik taraf perumahan bagi kakitangan JKDM.
Menurutnya, kerajaan turut mengumumkan tambahan peruntukan awal bagi menambah baik perumahan JKDM daripada RM20 juta sebelum ini kepada RM50 juta. – UTUSAN











