KUALA LUMPUR: Seorang lans koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini atas empat pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang remaja warga Uzbekistan berusia 17 tahun dalam kereta peronda polis di Bukit Ampang, minggu lalu.
Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, minta dibicarakan selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat bapa dua anak itu didakwa merogol, melakukan persetubuhan luar tabii, melakukan hubungan seks menggunakan objek dan amang seksual terhadap mangsa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta peronda polis di tepi Jalan Persiaran Saujana Ampang di sini pukul 10.30 malam pada 9 Januari lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan.
Selain itu ialah seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima dan maksimum 30 tahun serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.
Bagaimanapun, peguam G. Visvanathan Nair yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan menanggung isteri dan dua anak berusia setahun dan empat tahun serta bapa dan ibunya masing-masing berusia 76 tahun dan 70 tahun selain tertuduh juga mempunyai penyakit saraf otot.
Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Norshila kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Tarikh 12 Mac ini ditetapkan sebutan kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Muhammad Fazrul dan seorang lagi rakannya Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, juga didakwa melakukan pemerasan sebanyak RM500 dengan mendatangkan ketakutan kepada teman lelaki mangsa.
Remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan warga tempatan dan diperas ugut gambar rakamannya bersama mangsa yang sedang bercumbuan disebar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Ampang Hillview pukul 10.09 malam pada tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Majistret Amalina Basirah Md. Top kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 beserta syarat tambahan agar tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah itu menetapkan tarikh sama bagi sebulan semula kes. Semasa prosiding, Muhammad Adib Aikal diwakili peguam Kee Wei Lon.
Terdahulu, media melaporkan ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di lokasi kejadian, mereka ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform sebelum kedua-duanya dibawa ke lokasi berasingan.
Salah seorang suspek bertindak merogol mangsa wanita manakala mangsa lelaki dibawa ke sebuah bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas. – UTUSAN










