SHAH ALAM: Niat baik seorang pelajar tingkatan tiga yang membantu ayahnya menghantar barang ke rumah kawannya dengan menunggang motosikal memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa dalam Op Ambang Tahun Baharu 2024 di Lebuhraya Persekutuan, berdekatan Seksyen 7, dari arah Klang menuju Kuala Lumpur, di sini awal pagi semalam.
Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Hadi berkata, ayahnya memintanya berbuat demikian kerana rakannya amat memerlukan barang tersebut dengan segera.
“Namun ayah tidak sihat lantas minta saya hantar barang tersebut di rumah rakannya di Seksyen 7. Tidak tahu barang apa yang dibawa kerana ayah melarang saya untuk membuka kotak yang mengandungi barang tersebut.
“Lepas hantar barang tersebut, ayah pesan untuk saya terus pulang ke rumah tapi tak sangka polis akan buat sekatan jalan raya di sini,” katanya ketika ditemui awal pagi semalam.
Difahamkan, selain tidak memiliki lesen memandu, motosikal yang ditunggang pelajar tersebut didapati tiada nombor pendaftaran selain telah melakukan ubah suai ekzos.
Sementara itu, untuk kes berbeza pula, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah mengeluarkan lima kompaun kepada seorang penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan.
Penunggang motosikal tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 21, berkata, dia mengakui kesalahan yang dilakukannya dan akan segera membayar semua kompaun tersebut.
“Saya baru sahaja pulih daripada kecederaan kaki kanan setelah mengalami kemalangan jalan raya di Pulau Indah, Klang kira-kira enam bulan lalu.
“Saya dalam perjalanan hendak pulang ke rumah sewa di Shah Alam selepas melawat ibu di Pulau Indah,” katanya yang kini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat logistik di Shah Alam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, sebanyak 162 kompaun yang telah dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan JPJ serta enam notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam Op Ambang Tahun Baharu.
Menurutnya, antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran kenderaan dan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran JPJ. – UTUSAN










