Ahli Parlimen Bersatu mahu Larut terajui parti?

Ahli Parlimen Bersatu mahu Larut terajui parti?

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendedahkan Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’ selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan ‘U’ ketika meng­umumkan akan mempertahankan jawatannya.

Beliau mendakwa, kesemua 31 ahli Parlimen Bersatu sebenarnya menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut untuk memimpin parti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ia mengundang kecewa dalam kalangan ahli Parlimen tersebut apabila Muhyiddin membuat pusingan ‘U’ untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden parti pada pemilihan akan datang.

“Secara keseluruhannya kami melihat Larut mempunyai potensi sangat besar untuk memimpin Bersatu. Pada masa sama, Larut juga dilihat ada kesediaan dan kebolehan tersebut.

“Saya tidak mahu mengesahkan (adanya kem dalam Bersatu, tetapi memang ada,” katanya dalam sidang akhbar khas di kediamannya di sini, semalam.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, tindakan Muhyiddin membuat pusingan ‘U’ dalam keputusan mempertahankan jawatannya juga menjadikan Bersatu tiada hala tuju jelas untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Kami sebagai ahli Bersatu sebahagian besarnya mahu melihat kepimpinan parti diberi nafas baharu namun Presiden U-turn, ini keputusan sangat besar kerana berkaitan hala tuju parti.

“Beliau mahu bawa ahli Parlimen untuk membina masa depan negara tetapi boleh buat U-turn dengan mudah atas permintaan isteri.

“Saya tidak salahkan isteri beliau, tetapi keputusan sebagai pemimpin parti dengan berdepan pelbagai cabaran maka ia sangat penting,” katanya.

Pada November tahun lalu, Muhyiddin membuat pusingan ‘U’ apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang sedangkan pada hari sebe­lumnya belum mengumumkan untuk tidak berbuat demikian.

Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, 10 lagi ahli Parlimen Bersatu akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sidang Parlimen 26 Februari ini.

“Di zon utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak ada lima Ahli Parlimen; di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang ada tiga Ahli Parlimen manakala di zon tengah iaitu Selangor dan Melaka ada tiga Ahli Parlimen yang dijangka mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Jadi angkanya sekarang sudah berubah iaitu lapan tambah tiga tambah lima,” katanya.

Bagaimanapun, di Selangor Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi sudah pun mengisytiharkan diri menyokong Perdana Menteri semalam menjadikan semua yang berbaki adalah 10 orang.

Mengulas mengenai angka lima yang dimaklumkannya, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, mereka bukanlah terdiri daripada ahli Parlimen yang dijangka memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau menyeru kelima-lima ahli Parlimen tersebut yang beliau sifatkan sebagai high profile untuk turut serta menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Saya menyerulah Larut, Beluran, Masjid Tanah, Tanah Merah dan Hulu Terengganu untuk bersama-sama mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Mereka ini adalah ahli Parlimen berpengalaman yang sebelum ini meninggalkan parti lamanya untuk menyertai Bersatu bagi menubuhkan kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya nak Bersatu secara ke­seluruhannya menyokong Perdana Menteri sebab itulah saya menyeru lima high profile ini untuk bersama. Tiada yang mustahil dalam dinamika politik masa kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN