800 penunggang RXZ sahut kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' - Utusan Malaysia

800 penunggang RXZ sahut kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’

SEBAHAGIAN daripada jemaah termasuk ahli kelab RXZ Terengganu yang menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF/pix
[email protected]

KUALA NERUS: Fenomena kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ terus menjadi ikutan termasuk dalam kalangan peminat sukan permotoran di Terengganu.

Lebih 800 penunggang motosikal RXZ dari seluruh negeri hadir menunaikan solat Subuh berjemaah sempena Program “RXZ Members Subuh Warrior’ di Masjid Seberang Takir di sini, hari ini.

Pengasas kelab RXZ Terengganu, Mohamad Faiza Ali berkata, program tersebut merupakan kali kedua diadakan kelab tersebut sejak minggu lalu.

Menurutnya, inisiatif itu dibuat bagi mengajak penunggang motosikal di negeri itu menunaikan solat Subuh berjemaah sekaligus menghidupkan suasana di masjid.

“Saya sangat bersyukur apabila mendapati kehadiran minggu ini lebih ramai berbanding minggu lalu dan memang hasrat saya untuk meneruskan usaha ini setiap Jumaat.

“Malah ada rakan-rakan kami yang datang dari Setiu dan Marang semata-mata mahu berjemaah di program ini dengan ruang masjid mula dipenuhi seawal pukul 5 pagi.

“Program ini turut diisi dengan kuliah Subuh sebelum kami menunaikan solat Subuh beramai-beramai bersama jemaah yang lain,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Faiza memberitahu, usaha kelab itu mengajak ahlinya solat berjemaah juga dianggap telah menangkis segelintir persepsi buruk terhadap golongan ‘kaki motor’.

Menurutnya, mereka berhasrat bergerak ke daerah-daerah lain pada minggu seterusnya bagi meneruskan dakwah berkenaan selain mengeratkan hubungan.

“Kalau boleh kita nak amalan solat Subuh berjemaah ini berterusan sehingga Ramadan dan insya-Allah kelab RXZ Terengganu akan turut serta mengimarahkan masjid-masjid.

“Ini cuma usaha dakwah kecil kami dalam menjadikan amalan solat berjemaah di masjid sebagai rutin harian kita semua,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya