21 syarikat buat transaksi scam RM3.78 bilion ke 42 negara

21 syarikat buat transaksi scam RM3.78b ke 42 negara

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seba­nyak 21 syarikat perdagangan di negara ini terbabit dalam transaksi mencurigakan kira-kira RM3.78 bilion dipercayai hasil kegiatan penipuan atau scammer dalam tempoh dua tahun ini.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua jumlah wang tersebut didapati membuat transaksi ke 42 negara.

Kata beliau, siasatan mendapati kesemua syarikat itu didaftarkan untuk pelbagai jenis perniagaan elektrik, pe­rabot, pembinaan, pengangkutan dan logistik namun hanya dijadikan ‘topeng’ untuk aktiviti haram.

Jelasnya, polis percaya syarikat-syarikat tersebut dijadikan sindiket scammer bagi membuka akaun bank untuk melakukan transaksi wang haram hasil penipuan tersebut ke negara lain.

“Siasatan lanjut mendapati lebih 21 syarikat perdagangan berdaftar mempunyai transaksi meragukan berjumlah RM3.78 bilion ke 42 negara.

“Sebagai contoh, dari syarikat perabot di Malaysia menyalurkan wang ke sebuah perniagaan di GuangZhou, China.

“Malah, ada sebuah syarikat dikesan melalui satu transaksi wang dengan jumlah besar kira-kira RM3.4 juta ke sebuah akaun bank di luar negara,” katanya di sini semalam.

Menurut Ramli, apabila pemeriksaan dilakukan tiada sebarang aktiviti perniagaan dibuat dalam syarikat tersebut.

Jelasnya, pihaknya turut mendapati sebuah syarikat berdaftar bagi perniagaan pengangkutan dan penghantaran barang dikesan membuat beberapa transaksi ke sebuah negara berjumlah RM1.26 bilion.

Dalam pada itu, menurut Ramli, pemeriksaan lanjut mendapati kebanyakan pemilik syarikat itu tidak mengetahui nama mereka dipergunakan sindiket scammer.

Jelasnya, jika dahulu sindiket scammer menyasarkan akaun bank individu untuk dijadikan keldai akaun namun kini mereka beralih ke syarikat.

“Ini membolehkan transaksi kewangan dilakukan lebih kerap dan melibatkan jumlah yang besar. Hal ini menunjukkan sangat mudah bagi sindiket scammer membuka syarikat dan menyalahgunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Justeru itu, Ramli mencadang pihak berkaitan untuk mengetatkan peraturan atau prosedur pendaftaran syarikat baharu.

Menurut beliau, beberapa kriteria antaranya tapisan rekod jenayah dan rekod kewangan wajar dipertimbang untuk dijadikan sebahagian prasyarat sebelum pendaftaran sesebuah syarikat serta perniagaan itu diluluskan.

“Perkara yang sama disarankan PDRM dalam soal pembukaan akaun bank di institusi kewangan yang mana semakan yang terperinci dan syarat yang lebih ketat perlu dikenakan sebelum pembukaan akaun bank milik syarikat atau perniagaan diluluskan.

“Pemeriksaan latar belakang pemilik perlu dilakukan agar pihak tidak bertanggungjawab tidak sewenang-wenangnya membuka syarikat.

“Jika dahulu, individu yang ingin membuka syarikat perlu tampil bersama-sama pengarah syarikat ke pejabat pihak berkaitan bagi membuktikan identiti mereka.

“Bagaimanapun, kini semuanya mudah, hanya melalui atas talian sahaja. Itu sebab ada pihak tidak bertanggungjawab ambil kesempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN