KUALA NERUS: Program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang menawarkan latihan kemahiran dan keusahawanan berjaya memberi manfaat kepada lebih 2,000 peserta sejak program itu dijalankan pada 2020.
Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan taraf kehidupan peserta sebagai usahawan dan tenaga kerja berkemahiran sejurus tamat kursus serta latihan.
Menurutnya, setiap peserta terpilih akan menjalani latihan dan mengikuti modul dalam kursus masing-masing selama tiga bulan sebelum layak menerima kit perniagaan untuk ‘bergerak’ sendiri.
Katanya, latihan kemahiran tersebut juga membantu menyerlahkan potensi diri sekaligus membantu peserta menjana pendapatan tambahan melalui penempatan pekerjaan atau pembangunan keusahawanan.
“Ada dalam kalangan peserta tersebut sudah mula menunjukkan peningkatan pendapatan sehingga empat kali ganda berbanding sebelum mereka mengikuti Program Yayasan PETRONAS_empower_ ECER Latihan kemahiran dan keusahawanan.
“Selain itu, lebih 8,000 usahawan baharu dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga telah dibangunkan menerusi pelbagai latihan serta pendedahan sejak 2018.
“Malah, seramai lebih 2,500 peserta daripada program tersebut telah mendapat penempatan pekerjaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau memberitahu, tujuh jenis kursus ditawarkan iaitu automotif, pengukuhan usahawan pertanian dan industri asas tani, usahawan penjaja (F&B) serta usahawan peruncitan (smartpreneur).
Jelasnya, kursus lain yang ditawarkan adalah penyediaan dan pembuatan makanan dan minuman, usahawan digital atau ‘dropship’ dan seni jahitan kreatif.
Tambahnya, terbaharu, seramai 140 peserta daripada daerah Jerantut, Pahang yang telah menamatkan fasa latihan selama tiga bulan di bawah program ini diraikan bersama rakan pelaksana, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Jerantut, Pahang, baru-baru ini. – UTUSAN