PETALING JAYA: Terkejut dan sedih dengan keadaan kesihatan pelakon veteran, Jalil Hamid, penyanyi dan pelakon, Zizan Razak turut menghulurkan bantuan kewangan menerusi program Dari Poket Artis ke Poket Artis.
Zizan berkata, program berkenaan adalah inisiatif khas yang dianjurkan oleh pelakon, Diana Rafar bagi membantu golongan artis yang memerlukan bantuan.
Katanya, sebaik sahaja mengetahui Jalil berada dalam senarai mereka yang memerlukan bantuan, dia tidak teragak-agak memberikan wang yang dirahsiakan jumlahnya bagi meringankan beban Jalil termasuk 39 rakan artis lain.
“Memang niat saya untuk bersedekah khususnya buat Jalil kerana dia sangat berjasa kepada saya sampai ke hari ini. Selain menghiburkan saya dan keluarga sejak kecil, dia jugalah juri yang berkata ‘lulus’ semasa saya hadir ke ujibakat program Raja Lawak dahulu.
“Akhirnya saya terpilih sebagai peserta dan menjadi juara. Dia nampak bakat dan potensi yang ada dalam diri ini. Saya kenang jasa dan kebaikannya sampai hari ini.
“Bila dengar dia tidak sihat, saya rasa sedih. Saya sangat ringan tangan untuk memberi bantuan kepadanya serta rakan artis lain yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pelakon Polis Evo itu juga berasakan nasib yang menimpa golongan pelakon veteran hari ini boleh diringankan jika lebih ramai lagi selebriti generasi muda yang terbuka hati untuk membantu.
“Berita kesusahan dan kepayahan hidup seorang artis adalah perkara yang tidak berapa enak untuk diterima dan ditelan.
“Namun situasi ini boleh diubah dengan tangan-tangan artis generasi baharu yang ada untuk menghulurkan bantuan.
“Kepada artis muda yang mungkin sedang seronok bekerja, semoga ia mengingatkan kita bagaimana nasib kita di masa tua nanti,” katanya.
Sebelum ini, cakna dan prihatin dengan nasib artis veteran, Diana dan suaminya, Zamarul Hisham mengadakan program Dari Poket Artis ke Poket Artis hasil kerjasama bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menurut Diana, apabila poster acara itu tersebar, ramai rakan artis yang menyatakan hasrat untuk membantu seperti Mila Jirin, Neelofa, Amira Othman serta Syatilla Melvin.
Antara penerima bantuan berkenaan ialah Jalil Hamid, Harun Hashim, Wan Maimunah serta penyanyi, Zaiton Sameon. – UTUSAN










