Zayn Rayyan: Polis periksa stor berhampiran Blok R cari bukti

Zayn Rayyan: Polis periksa stor berhampiran Blok R cari bukti

BEBERAPA anggota pasukan penyiasat menumpukan siasatan di sebuah stor penyimpanan terletak kira-kira 50 meter dari Blok R, Apartment Idaman di Damansara Damai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah stor penyimpanan terletak kira-kira 50 meter dari Blok R, Apartment Idaman di Damansara Damai menjadi tumpuan utama siasatan pihak polis yang memasuki hari keempat dipercayai bagi mengesan bukti-bukti baharu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Tinjauan wartawan di lokasi kejadian mendapati dua anjing pengesan (K9) dan Unit Forensik dilihat berada di stor berkenaan kira-kira empat jam.

Dua anjing pengesan dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dikenali Gucci dan Ricks dibawa memasuki stor yang menyimpan motosikal, kerusi plastik dan barangan khemah.

Seekor daripadanya kemudian dibawa ke Blok R bagi melakukan pengesanan di beberapa unit rumah apartment berkenaan.

Menurut pemilik stor, Noraini Ahmad, 51, stor itu sentiasa dikunci dan hanya dibuka sekiranya untuk mengeluarkan motosikal bagi kegunaan harian ahli keluarganya.

Jelasnya, kira-kira sejam selepas anjing pengesan dibawa masuk ke dalam stor, pihak polis mengatakan telah selesai melakukan siasatan dan membenarkan beliau mengunci stor berkenaan.

Namun, tidak lama kemudian polis menghubunginya semula untuk membuka kunci stor bertujuan menyambung semula kerja-kerja penyiasatan.

Unit K9 dan Unit Forensik dilihat meninggalkan lokasi pada 2.15 petang.

Turut hadir ke lokasi kejadian Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Semalam, dua anjing K9, Falco dan Jimmy turut dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan iaitu di anak sungai berdekatan Blok R.

Unit Anjing Pengesan K9 sebelum ini adalah watak utama dalam usaha pencarian beberapa insiden di dalam negara yang memerlukan kepakaran tersendiri yang tiada tandingnya berbanding peranti moden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN