PETALING JAYA : Pengasuh kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak menyangka kanak-kanak itu akan diperlakukan dengan begitu kejam.
Pengasuhnya, Auni Afiqah Abas, 28 berkata, Zayn Rayyan seorang kanak-kanak yang manja dan tidak pernah menyusahkan sesiapa.
Kata beliau, perwatakan kanak-kanak itu lembut macam bayi baru lahir.
“Masih terasa macam tertusuk sedalam-dalamnya kehilangan dia. Dia tidak pernah kacau orang, dengan budak lain dia tak pernah sentuh termasuk anak saya sendiri pun dia hanya cuit tanda ajak main.
“Dia tidak pernah nak menyusahkan saya atau sesiapa pun, termasuk maknya,” katanya.
Auni Afiqah berkata, dia pasti akan terbayang wajah Zayn Rayyan yang suka duduk di kerusi dan meja kegemarannya, selain dia suka berdiri di tingkap menanti kepulangan ibunya.
Menurutnya, dia juga tidak dapat melupakan makanan kegemaran Zayn Rayyan iaitu spageti goreng, bihun goreng serta ayam masak cili api.
Sementara itu, ibu mentua Auni Afiqah, Che Zaiton Abd Aziz, 54, mengakui amat menyayangi dan rapat dengan kanak-kanak istimewa itu.
Dia yang dipanggil Umi oleh kanak-kanak itu berkata, Zayn Rayyan gemar berbaring di ribanya.
“Zayn Rayyan akan duduk sebelah saya, baring atas riba saya. Itu memang tak pernah dibuat oleh anak asuhan lain dan ia akan meninggalkan kesan kepada saya.
“Dia suka duduk macam itu, baring di paha saya. Dia diam saja, macam dalam dunia dia. Saya akan belai kepala dia, tanya dia macam-macam,” jelasnya.
Che Zaiton berkata, dia juga terlalu sedih dengan kejadian menimpa Zayn Rayyan dan seakan tidak percaya kanak-kanak itu diperlakukan sedemikian.
Bagaimanapun, dia memohon orang ramai supaya menghormati perasaan ibu bapa Zayn Rayyan dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati mereka.
Operasi pencarian masih dijalankan oleh polis termasuk kerjasama unit anjing pengesan (K9) dan bomba di sekitar kawasan apartment bagi mengesan petunjuk baharu.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan bunuh selepas proses bedah siasat ke atas Zayn Rayyan mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan.
Dalam pada itu, jiran sebelah rumah mangsa, Abd Rashid Tatawi, 39, memberitahu, Zayn Rayyan disifatkan sebagai seorang kanak-kanak yang pendiam dan sentiasa ditemani ibunya walaupun ketika bermain.
Dia kerap terserempak kanak-kanak itu bersama ibunya ketika mereka mahu pergi dan balik sekolah serta rumah pengasuh.
“Zayn seorang pendiam dan memang tidak bercakap dengan orang. Kadang-kadang dia akan bermain sebentar di hadapan rumah kami selepas balik dari sekolah dengan pemerhatian ibunya.
“Namun, apabila ibunya menyuruhnya masuk ke dalam rumah, dia akan menuruti arahan ibunya dan dia kanak-kanak yang tidak banyak ragam,” katanya.
Abd Rashid yang berniaga sendiri berkata, selepas mengetahui Zayn Rayyan dilaporkan hilang melalui kumpulan WhatsApp penduduk Apartmen Idaman Selasa lalu, dia turut sama penduduk setempat membantu dalam usaha mencari kanak-kanak itu pada hari pertama.
“Pada malam Zayn ditemui (malam kelmarin), saya baru balik daripada berniaga dan dimaklumkan mayat Zayn ditemui.
“Ketika bapa Zayn pengsan ketika mengetahui keadaan Zayn (meninggal dunia), sayalah orang yang menyambutnya ketika dia jatuh (pengsan), saya memahami kesedihannya kerana saya sendiri seorang bapa yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun,” jelasnya.
Seorang lagi jiran mangsa, Shida Rajali, 35, berkata, pada hari Zayn Rayyan hilang, dia ada terserempak dengan ibu kanak-kanak itu di bawah blok rumah ketika mahu keluar menghantar anak perempuannya yang berusia sembilan tahun ke sekolah, kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Saya nampak dia (ibu Zayn Rayyan) berseorangan ketika itu dan dia seperti tercari-cari sesuatu tapi saya tidak bertanya.
“Dan selepas saya pulang semula ke rumah, saya terserempak semula dengannya ketika saya naik tangga ke rumah di tingkat dua, ibu Zayn sedang menuruni tangga. Saya hanya mengetahui kehilangan Zayn daripada suami beberapa jam selepas itu,” jelasnya.
Selepas kejadian menimpa Zayn Rayyan, katanya semua ibu bapa di sini lebih berjaga-jaga dan tidak meninggalkan anak masing-masing di rumah walaupun keluar walaupun untuk sebentar.
“Saya berharap pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Indah memasang lebih banyak CCTV (kamera litar tertutup) di kawasan perumaha ini untuk keselamatan penduduk.
“Saya dan suami juga bercadang untuk memasang CCTV di luar rumah kerana rumah kami terletak di tepi tangga, ramai orang akan gunakan tangga untuk turun naik, agak membimbangkan juga,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara lima hingga sembilan tahun,” katanya. -UTUSAN