PETALING JAYA : Polis akan mengadakan pertemuan bersama komuniti penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai di sini malam ini.
Perjumpaan itu difahamkan akan diadakan kira-kira pukul 9 malam di Dewan Orang Ramai Blok L, Apartment itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, perjumpaan berkenaan merupakan aktiviti biasa yang dilakukan pihaknya sebelum ini.
“Memang sebelum ini pun kita adakan perjumpaan untuk terangkan situasi semasa, ia satu perkara yang rutin bagi kawasan Petaling Jaya,” katanya ringkas kepada media malam tadi.
Sementara itu, beberapa kenderaan polis yang sebelum ini memasuki kawasan blok di sekitar pekarangan Apartment Idaman di sini dilihat keluar kira-kira pukul 10.30 malam.
Difahamkan anggota polis memasuki blok R di sini bagi menjalankan pemeriksaan rumah ke rumah bagi siasatan lanjut berkaitan kes pembunuhan mangsa.
Lebih 20 anggota dilihat memasuki blok kediaman keluarga Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin itu kira-kira pukul 8 malam. – UTUSAN