PETALING JAYA: Stoking antara barangan dan objek yang ditemukan pihak polis dipercayai boleh dijadikan petunjuk dalam menjejaki suspek terlibat dalam kes bunuh kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Utusan Malaysia difahamkan, stoking berkenaan ditemukan pihak polis di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Disember lalu.
Bagaimanapun, tidak dipastikan stoking berkenaan adalah milik kanak-kanak malang itu atau bukan dan sudah pasti ia perlu dianalisa oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan rumah ke rumah kali kedua yang dilaksanakan oleh polis di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini semalam dan ada mengesan beberapa barangan atau objek.
Kata beliau, analisa perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap bukti-bukti yang diperoleh.
Kata beliau, bagaimanapun, tiada perkembangan positif dalam usaha menjejak pembunuh Zayn Rayyan.
“Kita perlu analisa terlebih dahulu semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya di sini.
Ditanya sama ada terdapat arahan khusus dikeluarkan pihak polis terhadap penduduk untuk kekal di blok mereka ketika pemeriksaan dijalankan, beliau berkata, penduduk boleh melakukan rutin harian mereka seperti biasa.
“Jika kita lakukan pemeriksaaan, mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan kita akan tunggu dan panggil mereka untuk ‘mass DNA screening‘ (ujian DNA beramai-ramai),” jelasnya.
Terdahulu, hasil pemeriksaan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama kira-kira dua jam di setiap rumah di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, dilihat dua kotak dibawa keluar.
Kotak berkenaan dipercayai berisi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu yang mayatnya ditemukan di anak sungai dekat kawasan apartmen itu pada 6 Disember lalu.
Lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula pukul 8.40 malam tadi dan berakhir kira-kira 10.30 malam.
Pemeriksaan didapati tertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan yang berketinggian empat tingkat.
Usaha media untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut proses itu terhalang selepas tidak dibenarkan mendekati kawasan mahupun berkumpul di hadapan blok. – UTUSAN










