YEG Academy, Universiti MAHSA atasi pengangguran dengan jadi jururawat - Utusan Malaysia

YEG Academy, Universiti MAHSA atasi pengangguran dengan jadi jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT : Bagi mengatasi kadar pengangguran, YEG Academy menjalin kerjasama dengan Universiti MAHSA dengan menyediakan lebih banyak peluang buat mereka yang ingin menceburi bidang kejururawatan. 

Ketua Pegawai Operasi YEG Academy, Mohamad Fikri Hasbi berkata, pendekatan tersebut diambil susulan permintaan jururawat yang tinggi bukan sahaja di negara ini malah luar negara dengan menjamin pendapatan kepada bakal graduan. 

Katanya, ini seterusnya mengelakkan sikap segelintir individu yang tidak menyambung pelajaran sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Isu graduan menganggur bukan terjadi 100 peratus disebabkan salah graduan sebaliknya program yang dipilih (semasa menuntut di universiti) itu tidak mempunyai janjian pekerjaan sebaik tamat pelajaran. 

“Lagipun, kejurawatan ini bukan bidang biasa-biasa sebenarnya kerana mampu menjana pendapatan tinggi termasuk bekerja di luar negara. Ini secara tidak langsung mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan dan kerjaya jururawat,” katanya.

Terdahulu, beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) program kejurawatan MaHSTECH dengan Universiti MAHSA yang diwakili Pengarah Kanan Akademik merangkap Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Kejururawatan dan Pendidikan, Prof. Dr. Veronica Chua Poh Choo. 

Mohamad Fikri menambah, seramai 400 individu akan dipilih menjadi perintis program tersebut bermula April ini dengan hanya menggunakan keputusan percubaan dan sijil SPM. 

“Program ini menjanjikan pekerjaan dengan sesiapa yang dipilih akan mendapat biasiswa daripada empat hospital yang telah bekerjasama dengan Universiti MAHSA ini iaitu Thompson Hospital, ICG Healthcare, Hospital Pakar Regency Johor Baharu dan KPJ Healthcare Bhd. 

“Jadi, apabila mereka keluar akan terus mendapat atau ditempatkan pekerjaan di hospital tersebut,” katanya.

Sementara itu, Veronica memberitahu, syarat kemasukan di peringkat diploma kejururawatan adalah lulus lima kredit iaitu Bahasa Malaysia, Sains, Matematik, English dan Sejarah manakala bagi Sarjana Muda harus mempunyai pengalaman selama dua tahun. 

“Setelah pandemik Covid-19, banyak industri terkesan namun tidak dalam bidang jururawat yang memerlukan tenaga saban tahun bagi memenuhi permintaan bidang penghospitalan termasuk di Singapura dan Dubai (Emeriah Arab Bersatu). 

“Jururawat di kalangan lelaki khususnya amat tinggi pasaran dan sangat diperlukan kerana mempunyai lebih kudrat memandangkan bidang kejururawatan memerlukan tenaga dalam menjaga pesakit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN