Iran arah jutaan pelarian Afghanistan tinggalkan negara atau diusir secara paksa - Utusan Malaysia

Iran arah jutaan pelarian Afghanistan tinggalkan negara atau diusir secara paksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kerajaan Iran mengarahkan jutaan pendatang dan pelarian Afghanistan meninggalkan negara itu dengan segera atau berdepan penahanan, selaras dengan tarikh akhir yang ditetapkan berakhir pada Ahad.

Langkah keras ini dilaksanakan di tengah-tengah kebimbangan keselamatan susulan konflik 12 hari antara Iran dan Israel yang turut melibatkan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan pengayaan uranium Iran.

Iran dianggarkan menempatkan lebih empat juta pendatang dan pelarian Afghanistan, ramai antaranya telah tinggal selama beberapa dekad. Bagaimanapun, tindakan pengusiran besar-besaran ini menimbulkan kebimbangan di kalangan badan kemanusiaan yang memberi amaran ia boleh menambah ketidakstabilan di Afghanistan, salah satu negara termiskin di dunia.

Kempen pengusiran pelarian dilancarkan Iran sejak 2023 menyasarkan warga asing yang dikatakan tinggal secara haram. Pada Mac lalu, kerajaan memberi amaran bahawa warga Afghanistan tanpa izin perlu meninggalkan negara itu secara sukarela sebelum 7 Julai atau akan diusir secara paksa.

Sejak arahan itu dikeluarkan, lebih 700,000 warga Afghanistan telah meninggalkan Iran, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), dengan lebih 230,000 daripadanya berbuat demikian dalam bulan Jun sahaja. Ratusan ribu lagi kini berdepan risiko diusir.

Kerajaan Iran menafikan bahawa langkah ini menyasarkan pelarian Afghanistan secara khusus. Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani, berkata pihaknya sentiasa berusaha menjadi tuan rumah yang baik tetapi keselamatan negara adalah keutamaan dan sememangnya warga asing tanpa izin mesti pulang.

Namun begitu, ramai warga Afghanistan yang menetap di Iran meluahkan kesedihan mereka.

Batoul Akbari, seorang pemilik restoran di Teheran memberitahu Al Jazeera bahawa masyarakat Afghanistan berasa terkesan dengan sentimen anti-Afghanistan yang semakin meningkat.

“Dibesarkan di Iran memberikan kami rasa mempunyai dua tanah air. bu bapa kami berasal dari Afghanistan, tetapi inilah rumah yang kami kenali sejak lahir,” katanya.

Mohammad Nasim Mazaheri, seorang pelajar yang keluarganya terpaksa meninggalkan Iran, berkata pengusiran ini telah memisahkan banyak keluarga.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan, semasa konflik dengan Israel, Iran mengusir lebih 30,000 warga Afghanistan setiap hari, angka yang meningkat secara mendadak berbanding 2,000 sehari sebelum itu.

Menurut UNHCR, daripada 1.2 juta warga Afghanistan yang pulang ke negara asal tahun ini, lebih separuh datang dari Iran selepas tarikh akhir ditetapkan pada 20 Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN