KUALA TERENGGANU: Penduduk Terengganu terutama yang tinggal di pesisir pantai diminta lebih berwaspada ekoran ramalan banjir lebih buruk dijangka berlaku bermula Jumaat ini hingga 26 Disember ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, keadaan banjir kali ini dijangka lebih besar ekoran tempias ribut tropika Jelawat yang kini membadai pulau besar di selatan Mindanao, Filipina.
Katanya, hujan lebat tersebut boleh menyebabkan banjir lebih teruk berbanding gelombang pertama dan kedua, baru-baru ini.
“Saya harap semua penduduk di kawasan terlibat khususnya di Kemaman dan Dungun dapat membuat persediaan lebih awal dan sentiasa waspada dengan amaran dikeluarkan pihak berkuasa.
“Pada masa sama, semua jabatan dan agensi berkaitan pengurusan bencana di Terengganu terus bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam banjir gelombang ketiga nanti,” katanya selepas hadir menerima sumbangan pakej prihatin Yayasan Petronas untuk 1,500 mangsa banjir di Terengganu di sini, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, semua sumbangan itu diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terlibat.
Menurutnya, agihan kit bantuan itu akan diberi di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk keluarga mangsa banjir antaranya kelengkapan asas kebersihan diri, selimut, tuala, makanan dan minuman yang bernilai RM300. – UTUSAN










