KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Ketua Projek Program Translasional 2023 bagi bidang fokus Kelestarian Wilayah oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM6.25 juta.
Menurut Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, sebagai Ketua Projek, UMS memainkan peranan penting dalam menyokong dan memimpin pasukan penyelidik dalam bidang Kelestarian Wilayah bagi menghasilkan penyelesaian inovatif untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan industri dalam bidang ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Pengiktirafan ini dapat memperkasa reputasi UMS dan menjalinkan kerjasama dengan para penyelidik daripada universiti-universiti awam yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2023 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Tambah Kasim, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM 50 juta bagi melaksanakan penyelidikan berbentuk translasional.
Selain itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan berterusan dan bantuan kewangan dalam membantu UMS ke arah melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi.
“Kerajaan Negeri Sabah juga telah meluluskan dana sebanyak RM 10 juta untuk pewujudan Kursi Penyelidikan Bajau Sama Sabah, manakala Kursi Penyelidikan Keharmonian Antara Agama dan Kursi Penyelidikan Mualaf kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), sebanyak RM 2.5 juta setiap satu.
“Selain itu, kerjasama penyelidikan dengan pihak industri juga dapat diperkukuhkan selain penglibatan kolaborasi daripada universiti tempatan mahu pun luar negara.
“UMS juga telah mendapat respon positif daripada industri dengan mendapat saluran dana sebanyak RM 10 juta melalui kerjasama mewujudkan International Industry Research Innovation (IIRC) Steve Lee dan tambahan satu lagi Kursi Biodiversiti sebanyak RM 5 juta,” jelasnya.
Kasim berkata ia adalah satu sumbangan yang amat berharga kepada perkembangan dan pembangunan universiti terutamanya dalam memenuhi sasaran penarafan enam bintang MyRA.- UTUSAN










