MELAKA: Pas Melaka meminta kerajaan negeri mengurangkan tempoh penutupan jalan di Banda Hilir di sini untuk Zon Bebas Kenderaan dari 54 jam kepada hanya 18 jam, selagi tiada langkah-langkah diambil bagi mengurangkan impak negatif pelaksanaannya.
Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail berkata, pihak berwajib seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sewajarnya mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira masalah yang mungkin timbul daripada penutupan jalan bermula petang Jumaat sehingga tengah malam Ahad.
Ujarnya, perlu ada inisiatif yang dapat mengatasi masalah seperti kesan terhadap peniaga melibatkan penyediaan alternatif yang masih mesra alam.
“Langkah mengurangkan kenderaan dalam mencapai hasrat Bandaraya Melaka bebas karbon pada asalnya adalah langkah yang sangat baik, selaras dengan agenda sejagat yang kini sedang menuju ke arah itu demi kelangsungan ekosistem bumi.
“Dalam pemerhatian kami, semasa langkah ini yang hanya melibatkan hari Sabtu dari pukul 6.00 petang hingga 12 tengah malam, ia telah mendapat respons positif para peniaga kerana tidak menjejaskan perniagaan mereka malah mewujudkan peluang-peluang perniagaan baharu.
“Namun apabila ditingkatkan kepada 54 jam, ia telah menimbulkan masalah kepada para peniaga ini kerana perniagaan mereka terjejas teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 100 peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penutupan jalan Zon Bebas Kenderaan daripada 54 jam kepada hanya 18 jam.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Peniaga Pengusaha Kecil Melayu Melaka (PPPPKMNM) Cawangan Melaka Bandar, Abdul Rahim Embi berkata, penutupan jalan selama tiga hari itu menjejaskan kehadiran pengunjung terutama pelancong ke medan berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai kaedah untuk membawa masuk pelancong ke kawasan Zon Bebas Kenderaan berikutan isu penutupan itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sama sekali menganiaya peniaga dengan bersikap zalim sehingga kelompok terlibat tidak dapat menjalankan perniagaan kerana ketiadaan pengunjung.
Tambah Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin, sebagai contoh, MBMB boleh menyediakan kenderaan berasaskan elektrik (EV) seperti buggy, sewaan motosikal EV, bas EV atau apa-apa alternatif yang dapat mengatasi masalah penyusutan pelanggan.
“Sekiranya alternatif ini tidak dapat diwujudkan, maka kami menyarankan agar MBMB mengurangkan tempoh penutupan jalan ini hanya sekadar dari pukul 6.00 petang hingga 12 tengah malam Jumaat, Sabtu dan Ahad melibatkan tempoh sekitar 18 jam sahaja,” jelasnya. – UTUSAN










