SHAH ALAM: Bak kata bidalan ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’ demikian perumpamaan bagi seorang graduan yang sanggup pertaruhkan masa dan berani mencuba sehingga mampu menjadi cemerlang.
Jihan Balqish Ruzelan, 23, merupakan graduan Sarjana Muda Seni Pastri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-32.
Anak sulung daripada empat beradik itu sebelum ini menceburi bidang perakaunan di peringkat asasi dekat sebuah universiti lain, namun menukar bidang pengajian di peringkat sarjana muda dengan mempelajari seni pasti yang disifatkan sebagai dekat di hatinya.
Menurutnya, keputusan menukar program pengajian itu dibuat selepas mendapati bidang perakaunan sukar baginya untuk dipelajari sepanjang setahun bagi peringkat tersebut.
“Bagaimanapun, saya berjaya menghabiskan pengajian asasi perakaunan pada Mei 2019. Selepas itu pada September 2019, saya nekad ambil keputusan untuk sambung belajar di Fakulti Hospitaliti & Seni Kreatif,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, walaupun menukar bidang pengajian, pembuatan pastri bukannya satu perkara mudah kerana prosesnya rumit serta menuntut penelitian dan kesabaran yang tinggi di samping menempuhi cabaran sebagai mahasiswa di universiti.
Bagaimanapun, semua itu berjaya dilaluinya sehingga mampu meraih pelbagai pencapaian termasuk menjadi mahasiswa terpilih untuk menyertai program-program di peringkat antarabangsa.
“Saya pernah ikuti Global Mobility Program di Istanbul, Turkiye selama enam bulan pada tahun 2022. Malah, saya dapat menjalani latihan praktikal di Emirates Palace Mandarin Oriental di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama enam bulan yang berakhir pada Mei tahun ini,” ujarnya.
Katanya lagi, selepas tamat pengajian, beliau bercita-cita untuk membuka sebuah kedai menjual pastri menerusi kedai berkonsep yang diimpikannya.
Sementara itu Canselor Management and Science University (MSU), Tengku Sarafudin Badlishah mahu graduan terus mencari ilmu dan meningkatkan pengetahuan meskipun sudah berada dalam dunia pekerjaan.
Raja Muda Kedah itu turut memuji MSU kerana melakukan transformasi terhadap sistem pengajiannya bagi memastikan graduan yang dihasilkan mengikut ketetapan yang diperlukan industri dengan harapan graduan universiti mudah mendapat pekerjaan.
“Saya dimaklumkan MSU telah memperkukuh keboleh pasaran graduan dengan memastikan pencapaian yang ditetapkan iaitu melahirkan graduan yang ‘holistik, balance and well-rounded,” titah baginda dalam Majlis Konvokesyen MSU ke-32.
Seramai 2,531 orang graduan daripada 118 program pengajian menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini.
Sementara itu, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, MSU kini mahu memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda kerajaan yang mahu memperkasakan aliran pembelajaran tersebut.
Justeru itu menurutnya, universiti merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat yang berkaitan TVET supaya pelajar MSU mendapat ilmu secara langsung bagi memantapkan skil mereka ketika dunia pekerjaan. – UTUSAN










