Trend guna GPS pada bubu naga meningkat

Trend guna GPS pada bubu naga meningkat

ANGGOTA Zon Maritim Kuala Kedah menaikkan bubu naga atau kambang yang digunakan segelintir nelayan di perairan sekitar negeri ini berhampiran Pulau Bunting, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan taktik segelintir nelayan menggunakan sistem kedudukan global (GPS) bagi menentukan lokasi bubu naga yang dilabuhkan mereka semakin meningkat.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kegiatan itu dibongkar pasukannya dalam satu operasi khas yang dijalankan selama dua hari, baru-baru ini.

Katanya, peranti terbabit yang tidak berlesen dan tidak diluluskan diletakkan pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang.

“Dalam operasi di beberapa lokasi sepanjang perairan Tanjung Dawai hingga ke Kuala Kedah baru-baru ini, kita mendapati penggunaan alat GPS semakin meningkat berbanding penandaan pancang seperti sebelum ini.

“Malah, pelbagai taktik lain digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa semasa bubu naga dilabuhkan antaranya dengan mengubah lokasi semasa pemasangan peralatan itu,” katanya di sini, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, antara taktik yang biasa digunakan adalah meletakkan pelampung penanda yang mengelirukan seperti botol, bendera, pancang kayu, pelampung kecil, gabus, kain berwarna yang diikat pada tong kecil dan tong minyak kecil.

Sementara itu, dalam operasi terbabit, sebanyak 670 set bubu naga dirampas Zon Maritim Kuala Kedah yang membabitkan nilai kira-kira RM80,000.

“Kesemua peralatan itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata, operasi khas itu merupakan kerjasama antara Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Ibu Pejabat Maritim Putrajaya dan Unit Risik Zon Maritim Kuala Kedah berikutan peningkatan aduan awam dan pemantauan rutin yang dilakukan Maritim Malaysia.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN