PETALING JAYA: Kes rogol melibatkan ahli keluarga dilihat semakin meningkat terutama melibatkan bapa dan anak perempuan.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, antara pendorong kepada perilaku sebegini adalah disebabkan adanya unsur mengekalkan rasa kuasa dan kawalan terhadap anggota keluarga yang lain.
Katanya, faktor persekitaran keluarga seperti masalah kejiwaan si bapa juga dapat mempengaruhi isu ini selain persekitaran yang tidak stabil atau terlalu ketat sehingga mencipta tekanan dan meningkatkan risiko tindakan kekerasan.
“Mangsa kekerasan seksual seringkali mengalami perasaan malu, bersalah, atau takut ketika menghadapi situasi ini. Mereka mungkin takut tidak akan dipercayai, atau takut akan balasan lebih lanjut dari pelaku.
“Untuk mengatasi masalah ini, perlu ada pendekatan yang komprehensif yang melibatkan masyarakat, pendidikan, perubahan budaya, dan perundangan. Ini termasuk meningkatkan kesedaran tentang isu ini, memberikan pendidikan seks yang sehat, mendorong komunikasi terbuka dalam keluarga, dan menekankan pentingnya perlindungan terhadap anak-anak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan kenyataan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail tentang kes rogol melibatkan bapa dan datuk yang semakin berleluasa walaupun mahkamah menjatuhkan hukuman penjara.
Sementara itu, Pegawai Sangkutan Akademik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, kanak-kanak yang kurang maklumat dan kesedaran tentang masalah seksual lebih cenderung menjadi mangsa penjenayah seksual.
Katanya, mereka lebih cenderung untuk dieksploitasi secara seksual oleh penjaga atau orang dewasa mereka dan menjadi sasaran mudah kerana mereka tidak dapat melawan, mempertahankan diri dan mudah dipengaruhi oleh pemberian maklumat yang tidak betul, terutamanya dengan bahan berkaitan seksual.
“Adalah penting untuk mewujudkan sistem keluarga yang harmoni, menyediakan pendidikan tentang kesaksamaan jantina, memperkasakan kanak-kanak Perempuan untuk menolak semua jenis bentuk penderaan.
“Kanak-kanak perlu diberikan ilmu berkaitan bahaya penderaan seksual dan mempelajari cara melindungi aurat atau kemaluan daripada mereka yang berpotensi untuk melakukan penderaan seksual tersebut,” katanya.-UTUSAN