Paip usang Pahang ditukar berperingkat 

Paip usang Pahang ditukar berperingkat 

WAN ROSDY WAN ISMAIL 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaksanakan penukaran paip usang secara berperingkat di negeri ini bagi mengurangkan kadar air tak berhasil (NRW) daripada 47.5 peratus kepada 39.5 peratus menjelang 2028.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penukaran paip usang itu sepanjang 573.1 kilometer (KM) di seluruh negeri ini. 

Katanya, usaha berterusan PAIP sejak beberapa tahun lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan sekali gus meningkatkan tahap bekalan air di seluruh negeri ini.

“Fokus semasa PAIP adalah menambah baik kualiti perkhidmatan di kawasan-kawasan kritikal blackspot dan kini usaha telah membuahkan hasil dan rata-rata rakyat mula menerima bekalan air yang lebih stabil dan bertekanan tinggi.

“Berhubung dengan kadar NRW di negeri Pahang, usaha bagi menurunkan kadar NRW ini bukan mudah dan memerlukan peruntukan yang sangat besar. PAIP sedang merancang dan melaksanakannya secara berperingkat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini. 

Wan Rosdy berkata, selain program penggantian paip usang, turut dilaksanakan pembinaan District Metering Area (DMA) dan Pressure Management Area (PMA) di seluruh negeri, yang berfungsi mengurangkan kebocoran dan meningkatkan kecekapan pemantauan rangkaian paip.

Katanya lagi, sebanyak 526 DMA baharu dirancang di seluruh daerah dengan anggaran kos RM105.2 juta, melibatkan penjimatan air sehingga 45.4 juta liter sehari (MLD) serta potensi penurunan NRW sebanyak 3.5 peratus.

“Kerajaan negeri percaya, sebagaimana masalah blackspot yang kini semakin baik dan dapat diatasi oleh PAIP, dengan perancangan yang berfokus seperti di atas, PAIP akan berjaya menurunkan kadar NRW di Pahang secara berperingkat dan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN