PETALING JAYA: Tindakan pantas seorang pegawai perubatan dari Malaysia berjaya menyelamatkan nyawa warga emas yang berusia 80 tahun dari Banglore, Karnataka, India.
Kejadian berlaku 1 Disember lalu ketika Dr. Sathia Prakash Nadarajan sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Chennai, Tamil Nadu, India untuk menghadiri Desam Media International Golden Icon Awards 2023 di Chennai sebagai tetamu jemputan.
Berkongsi detik cemas, Dr. Sathia berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 30 minit sebelum pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Tamil Nadu.
“Seorang wanita warga emas usia 80 tahun yang sama-sama terbang dalam pesawat itu sama tiba-tiba berpeluh dan pengsan.
“Mujur saya mempunyai tabiat membawa stetoskop ke mana-mana sahaja saya pergi. Ia sangat berguna dan membantu saya bagi memberikan rawatan kecemasan yang termampu sebagai tindakan awal kepada penumpang itu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Sathia menggesa syarikat penerbangan untuk menyediakan set perubatan asas dalam pesawat bagi tujuan kecemasan.
“Justeru saya memohon supaya syarikat penerbangan dapat menyediakan set peralatan pemeriksaan seperti peranti memeriksa tekanan darah, stetoskop, pulse oximeter dan ubat kecemasan asas,” katanya.
Sementara itu, tindakan spontan beliau itu mendapat pujian rakan-rakan penumpang lain. Difahamkan, beberapa pengamal media dari Malaysia termasuk jurugambar, turut berada dalam pesawat dan sempat merakamkan detik cemas itu.
Perkongsiannya di Facebook turut mendapat perhatian dan pujian warga net.
“Semangat sebegini yang membuat saya masih percaya bahawa nilai kemanusia masih lagi wujud. Kudos kepada Dr Sathia Prakash .
“Seorang pengamal perubatan perlu bertindak pantas kerana dalam dunia perubatan, setiap detik adalah berharga dan bernilai.
“Anda merupakan inspirasi yang sebenar,” itu antara komen diberikan netizen kepadanya selepas video mengenainya tular. – UTUSAN