Tidak pernah lupa ombak ganas tsunami

Tidak pernah lupa ombak ganas tsunami

S. THULAASHI (dua dari kiri) yang terselamat daripada ombak tsunami yang membadai Pantai Miami, di Batu Ferringghi, Pulau Pinang, 19 tahun lalu bersama ahli keluarganya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Setiap kali menjelang 26 Disember setiap tahun, fikiran A. Suppiah, 74, pasti terkenang bagaimana ombak tsunami setinggi pokok kelapa membadai Pantai Miami di Batu Ferringhi di sini, sehingga mengorbankan 37 nyawa.

Walaupun sudah 19 tahun berlalu, peristiwa itu masih segar dalam ingatan Suppiah memandangkan bayinya yang baru berusia 22 hari ketika itu, S. Thulaashi sedang tidur di atas tilam di rumah mereka turut dihanyutkan ombak tsunami.

Bagaimanapun, Suppiah bersyukur kerana gelombang ombak tsunami yang kedua menghantar kembali anaknya ke pantai dan anaknya itu selamat.

Suppiah berkata, tiada siapa menyangka anaknya selamat memandangkan ramai mangsa yang terkorban dalam kejadian tsunami di Pantai Miami.

”Ramai yang gelar anak saya sebagai bayi ajaib sehingga ada wartawan dari luar negara datang menemuramah keluarga saya.

”Saya bersyukur kerana Thulaashi telah berusia 19 tahun kini, dia membesar sebagai anak yang baik dan meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang akaun di Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya di sini semalam.

Tanggal 26 Disember lalu, genap 19 tahun tragedi tsunami 2004, yang dianggap bencana alam terburuk dalam lipatan sejarah sehingga mengorbankan hampir 283,000 nyawa, manakala 14,000 lain gagal ditemui dan 1.12 bilion penduduk hilang tempat berteduh.

Gempa bumi kelima terkuat dalam sejarah dunia sejak tahun 1900 itu mencetuskan ombak setinggi lebih 30 meter, bersamaan ketinggian bangunan 10 tingkat, yang menghempas pelancong di beberapa pusat peranginan sehingga memusnahkan harta benda.

Malaysia turut terkena tempias ombak tsunami itu apabila empat buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dibadai ombak dengan jumlah tertinggi mangsa korban adalah di Pulau Pinang iaitu sebanyak 52 orang, diikuti dengan Kedah (12 orang), Perak (dua orang) dan Selangor seorang.

Suppiah yang kini sepenuh masa menjaga kafe keluarganya di Pantai Miami berkata, sebagai seorang bapa dia mengharapkan Thulaashi dapat mencapai cita-menjadi seorang akauntan selepas tamat pengajian kelak.

”Thulaashi adalah seorang anak yang bijak sejak kecil, dia adalah harapan kami dan saya berharap dia dapat belajar dengan baik di universiti.

”Pada mulanya, Thulaashi mahu menjadi seorang doktor, namun dia menukar minatnya dan berazam untuk bergelar seorang akauntan,” katanya.

Dalam pada itu, Thulaashi yang kini berada di USM ketika dihubungi berkata, dia memulakan pengajian di universiti berkenaan tahun lalu dan ramai rakan-rakannya yang tahu mengenai kisahnya sebagai ‘bayi ajaib tsunami’ itu.

”Pada mulanya saya agak malu apabila rakan-rakan tahu mengenai kisah saya, namun lama kelamaan saya anggap ia satu perkara yang istimewa buat saya.

”Saya menjalani kehidupan seperti biasa di universiti, mahu membantu ibu bapa selepas tamat pengajian kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN