Tiada pesakit perlu terpinggir di negara Madani

Tiada pesakit perlu terpinggir di negara Madani

Latihan pembedahan yang kompleks sudah lama ditawarkan oleh UKM melalui Advanced Surgical Skills Centre, sebuah pusat latihan pembedahan termaju di rantau ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia sudah terkenal lebih sedekad sebagai Hab Kardiologi Asia dan secara amnya salah satu destinasi perawatan kesihatan pilihan di peringkat antarabangsa, dengan sektor pelancongan kesihatan menyumbang lebih RM1.7 billion kepada ekonomi negara.

Ramai pelancong kesihatan yang datang adalah dari Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), suatu fenomena menakjubkan jika diimbas kembali sejarah silam perkhidmatan kesihatan di Malaysia sekitar tahun 1970 ke 80-an.

Pada 16 Februari 1977, akhbar Utusan Malaysia melaporkan pembedahan mengganti injap jantung yang pertama di Malaysia telah berjaya dijalankan ke atas seorang wanita berumur 40 tahun di satu-satunya hospital pengajar tempatan ketika itu.

Dua tahun kemudian, akhbar ini sekali lagi menarik ramai pembaca untuk menderma bagi membantu seorang penoreh getah menanggung kos rawatan jantung berlubang anak perempuannya yang terpaksa ke Manila kerana ketiadaan kepakaran tempatan ketika itu.

Namun si kecil ini tidak sempat melalui pembedahan setelah meninggal dunia sehari sebelum pembedahan.

Ekoran peristiwa ini, negara berjaya melahirkan pasukan pembedahan jantung tempatan dalam tempoh beberapa tahun, yang mampu melakukan pembedahan jantung terbuka sepenuhnya di Hospital Besar Kuala Lumpur bermula tahun 1982.

Ia terus berkembang sehingga tertubuhnya Institut Jantung Negara pada 1992.

Namun begitu, perkembangan perkhidmatan pembedahan tidaklah sekata kerana terdapat jurang besar antara akses kawasan bandar dengan luar bandar.
Kebanyakan perkhidmatan pembedahan kritikal masih tertumpu di pusat bandar kerana keperluan kelengkapan, logistik dan kepakaran yang rumit. Maka tidak dinafikan perkhidmatan pembedahan di kawasan terpencil lebih mencabar disebabkan kos penyediaan dewan bedah canggih serta perkhidmatan sokongan yang diperlukan seperti di hospital rujukan adalah terlalu tinggi.

Kerumitan ini ditambah dengan populasi kecil dan berselerak, infrastruktur asas yang kurang termasuk pengangkutan dan tahap pemahaman rendah serta kepercayaan kepada perubatan tradisional, yang menyumbang kepada rawatan biasanya lewat diterima.

Bagi menangani cabaran ini beberapa inisiatif dilakukan oleh pihak kerajaan termasuk menyusun semula perkhidmatan dengan mengadakan sistem hospital kluster, melatih doktor bukan pakar melakukan pembedahan tidak kompleks dengan bimbingan pakar daripada hospital rujukan, membina fasiliti mudah alih dengan kos rendah, perkhidmatan tele-perubatan digital, kolaborasi dengan hospital swasta dan hospital pengajar universiti untuk projek pembedahan elektif secara kolektif dan beberapa inovasi lain seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kerajaan juga giat memperluaskan latihan kepakaran dan latihan subkepakaran yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan universiti tempatan bagi memastikan bilangan pakar pada masa hadapan dapat memenuhi keperluan penduduk khususnya di kawasan luar bandar.

Tidak ramai yang sanggup berkhidmat di luar bandar kerana latihan bidang subkepakaran lebih bersesuaian dengan situasi infrastruktur serba lengkap yang hanya terdapat di kawasan bandar.

Maka untuk menjamin kelestarian, negara perlu lebih ramai pakar yang terlatih dalam melakukan pembedahan di kawasan luar bandar di mana fasilitinya serba kekurangan. Mereka ini lebih arif menggunakan teknik pembedahan yang kurang bergantung kepada peralatan canggih dan sistem sokongan berteknologi tinggi.

Ini tidak bermakna kualiti perawatan itu lebih rendah, tetapi memastikan rawatan kritikal tidak dilengahkan atas sebab kurangnya peralatan.
Hari ini, pembedahan adalah satu isu kesihatan awam yang baharu. Lancet Commission on Global Surgery melaporkan 5 bilion penduduk dunia tidak mendapat akses sepatutnya kepada pembedahan dan bius di seluruh dunia pada 2015 menyebabkan jutaan kematian setahun.

Felo kembara Tuanku Muhriz yang pertama, Prof. Angus Watson dari Scotland berkongsi ilmu bersama doktor-doktor muda di pedalaman Sarawak.

Bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan pembedahan luar bandar, khususnya di Scotland dan juga di Malaysia, The Royal College of Surgeons of Edinburgh, sebuah institusi pembedahan tertua di dunia memperkenalkan program fellowship kembara Tuanku Muhriz dengan kolaborasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setiap tahun seorang profesor dari United Kingdom akan melawat ke kawasan luar bandar Malaysia untuk mendalami khidmat diberikan.

Selain belajar pengalaman kita, mereka juga mengkaji isu berkaitan yang boleh dijadikan bahan penyelidikan bagi membolehkan model ini dikongsi di seluruh dunia, khususnya negara berpendapatan rendah.
Atas kepakaran mereka, peluang ini juga diambil untuk mengajar doktor dan jururawat semasa berada di kawasan pedalaman. Setakat ini sudah ada tiga pakar bedah UK yang lengkap melalui program sangkutan ini.

Hasil inisiatif itu, sebuah fakulti Remote and Rural Surgery telah dibuka di Edinburgh, Scotland yang menarik minat ramai pakar bedah mempelajari semula teknik pembedahan lama yang disesuaikan bagi operasi di kawasan pedalaman dan kurang kebergantungan kepada teknologi moden sekali gus memberi lebih ramai penduduk desa menikmati perkhidmatan tersebut.

 

Penulis ialah Pakar Perunding Pembedahan
Vaskular dan Pro Naib Canselor
Kampus Kuala Lumpur UKM) – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya