Tiada keperluan rombak exco - Saarani - Utusan Malaysia

Tiada keperluan rombak exco – Saarani

SAARANI Mohamad (tengah) bersama wakil GLC negeri yang memberi sumbangan Insiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas setahun membentuk barisan Exco negeri, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berpuas hati dengan barisan pentadbiran tanpa memerlukan sebarang rombakan.

“Setakat ini saya tidak fikir ada keperluan untuk membuat apa-apa rombakan.

“Kita sudah setahun, dalam tempoh ini pada saya tiada masalah timbul. Jadi kerana itu saya tidak akan cuba membuka ruang untuk masalah baru,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata, tiada sesiapa merujuk atau memaklumkan kepada beliau berkenaan dakwaan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang negeri mahu memberi sokongan kepada pentadbirannya.

“Apabila ADUN Hulu Kinta mengumumkan (dakwaan itu) dalam Dewan Negeri, dia kena bertanggungjawab atas kenyataan itu,” katanya.

Semalam, ADUN PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa ada ADUN PN yang mahu menyatakan hasrat menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri.

Mengenai Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani, beliau berkata, ia dijangka memberikan manfaat kepada 26,628 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) daripada 238 buah sekolah seluruh Perak.

Tambahnya, program Bantuan Makanan Percuma di bawah inisiatif TCS yang sudah masuk tahun ketiga pelaksanaannya telah memanfaatkan kira-kira 200,000 orang pelajar.

Katanya, pelajar terlibat akan menerima makanan tengahari RM5 seorang selama 20 hari semasa sesi kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula dari cuti penggal ketiga sesi 2023/2024 sehingga ke tarikh peperiksaan yang dijadual berakhir pada Mac 2024.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, program ini telah membantu peningkatan tahap pencapaian murid dalam semua peperiksaan awam di sekolah-sekolah yang terlibat dan membantu merapatkan jurang pencapaian di antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Selain itu, ia turut membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa untuk menyediakan wang saku kepada murid-murid bagi mengikuti program-program semasa cuti penggal tersebut,” katanya

Sumbangan diberikan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Lembaga Air Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Perbadanan Menteri Besar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya