Tiada istilah tewaskan sesiapa, rezeki kami bergelar juara - Sharif, Syaiful - Utusan Malaysia

Tiada istilah tewaskan sesiapa, rezeki kami bergelar juara – Sharif, Syaiful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menganggap percaturan mereka dalam merebut kejuaraan Famili Duo musim ketiga berhasil, pasangan adik-beradik, Sharif dan Syaiful merasakan mereka masih terlalu kerdil untuk dibanding dengan pasangan duo yang lain.

Jelas Sharif, tiada istilah mereka berjaya menewaskan duo lain, Adira dan Emma Suhaimi serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kehebatan sendiri.

“Mungkin kejayaan kami hasil daripada usaha kami menambat hati juri dan penonton menerusi persembahan. Kami sebenarnya tak jangka langsung. Kalau tengok peserta lain, berapa tiang kami ketinggalan.

“Kami sekadar mahu menghiburkan, tetapi Tuhan permudah rezeki. Kalau kata hendak tewaskan mereka, tidak pernah terlintas dan rasanya tak mungkin dapat kot. Jauh gila beza kami dengan mereka.

“Tetapi Alhamdulillah, di pentas lawak orang terima dan di pentas nyanyian juga orang terima. Tadi bila penonton di studio berdiri menyanyi bersama, kami sebak dan terharu sangat,” ujarnya.

Selepas lapan minggu berjuang, Sharif dan Syaiful menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara Famili Duo musim ketiga, malam tadi.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000 pada kemuncak pertandingan realiti tersebut.

Membawakan lagu Kong Kali Kong nyanyian asal Floor 88 dan medley lagu tradisional untuk pusingan kedua, duo tersebut berjaya memukau juri dan penonton, sekali gus mengetepikan persaingan dua pasangan lain untuk muncul juara.

Sementara itu, Sharif dan Syaiful bakal melaksanakan janji mereka untuk menyumbang sebahagian daripada wang kemenangan tersebut kepada tabung Palestin di bawah kelolaan Yayasan Nurjiwa.

“Insya-Allah, sebahagian wang kemenangan ini dan mingguan akan disalurkan untuk tabung Palestin. Itu adalah janji dan niat kami. Alhamdulillah, Tuhan balas dengan kemenangan ini.

“Bukanlah kami mengharap balasan tetapi kini saya dapat lihat sendiri, betapa agungnya kasih Allah kerana memberi kami rezeki untuk dikongsi kepada mereka yang sedang menderita.

“Kami akan maklumkan berhubung sumbangan tersebut di media sosial dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN