PUTRAJAYA: Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa semua tertuduh dalam kes pembunuhan Datuk Anthony Kevin Morais menyerkup kepala mangsa sehingga Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara itu menemui ajalnya.
Selain itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili penganggur, S. Nimalan yang merupakan tertuduh keempat dalam kes itu berkata, tiada beg plastik, tiada kesan jerutan atau kesan patah pada tulang hyiod yang boleh menunjukkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya itu dicekik.
“Dalam kes ini yang mana punca kematian adalah ‘kemungkinan asfiksia’ (probable asphyxiation) dan mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan, adalah wajib untuk pihak pendakwaan membuktikan bahawa semua tertuduh melakukan sesuatu tindakan yang menyebabkan mangsa mengalami kelemasan udara dan kelemasan itu cukup untuk menyebabkan kematian.
“Ia memerlukan (pendakwaan) mengenal pasti perbuatan yang dilakukan oleh semua tertuduh (yang membawa kematian),” kata peguam itu.
Ketika memberi keterangan, Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah yang juga saksi pendakwaan ke-11, Kevin Morais berkemungkinan besar mati akibat kelemasan udara atau ‘probable asphyxiation’.
Pakar itu dalam keterangannya antara lain menyatakan Kevin Morais melalui satu keadaan faktor luaran yang menyebabkannya tidak dapat bernafas dan mengalami kekurangan oksigen atau ketiadaan oksigen.
Saksi itu juga menggunakan perkataan `probable’ (kemungkinan) dan bukannya memberikan dapatan tepat kerana mayat Kevin Morais ketika ditemukan berada dalam proses pembusukan.
Hujah Amer Hamzah, tanpa mengenal pasti tindakan yang membawa kepada kematian Kevin Morais, adalah sukar untuk menyatakan bahawa afiksia yang dilakukan terhadap mangsa adalah sengaja atau sebaliknya.
“Selain itu, tiada bukti lain seperti perbualan, objek yang digunakan atau perancangan awal untuk menunjukkan bahawa kesemua tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan mangsa tercekik atau mengalami asfiksia. Kesan kecederaan di luar badan juga tidak membantu dan hanya boleh menunjukkan bahawa mangsa diserang tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia (serangan) boleh mendatangkan kematian.
“Seperti yang dihujahkan, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila apabila gagal mengambil kira apakah tindakan yang dibuat oleh tertuduh keenam (Nimalan) atau tertuduh-tertuduh (sehingga menyebabkan kematian), apa jenis kecederaan yang ingin dilakukan terhadap tertuduh, adakah afiksia yang dialami mangsa cukup untuk menyebabkan kematian atau adakah kecederaan dilakukan dengan sengaja atau sebaliknya.
“Sehubungan itu, terdapat kemungkinan bahawa hakim bicara tersilap arah dan mengakibatkan sabitan salah tertuduh keenam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak selamat untuk dikekalkan,”kata Amer Hamzah.
Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakili seorang lagi perayu S. Ravi Chandaran berkata, tiada bukti yang menyokong bahawa anak guamnya terbabit membunuh si mati, sebaliknya jika ada pun hanya menjurus kepada penculikan.
Tambahnya, keterangan saksi pendakwaan ke-54, G. Gunasekaran juga hanya menyentuh mengenai penculikan Kevin Morais pada 2015 dan tidak pernah menyentuh pembunuhan lelaki terbabit.
Gunasekaran pada mulanya merupakan tertuduh kedua dalam kes bunuh tersebut, namun, pada hari ke-36 perbicaraan, lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.
Mendiang Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 selepas keluar dari kediamannya di Menara Duta untuk ke tempat kerja di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.
Kereta tersebut ditemukan terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak pada keesokan harinya. Mayat mendiang ditemukan dalam keadaan terikat dengan guni dan disimen di dalam tong dram.
Mayat Kevin Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept tahun lepas.
Rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin bersambung 14 Disember ini.-UTUSAN