Tembakan kereta kebal hujani kediaman graduan UKM

Tembakan kereta kebal hujani kediaman graduan UKM

HAMPIR 400 kanak-kanak di bawah Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) berkumpul pada program Solidariti Palestin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asmaa Hussein Eslayeh dan keluarganya yang terkandas di Khan Younis, menempuh detik mendebarkan apabila kawasan kediaman mereka menjadi lokasi pertempuran antara mujahidin Palestin dengan tentera rejim Zionis.

Berkongsi detik mencemaskan itu kepada Utusan Malaysia, Asmaa, 30, yang merupakan warganegara Palestin berkata, kebanyakan rakyat negara itu di Khan Younis sudah meninggalkan kediaman masing-masing sejak rejim Zionis meningkatkan operasi ketenteraan di kawasam tersebut sebaik sahaja gencatan senjata antara Palestin – Israel ditamatkan.

Graduan Ijazah Sarjana Optometri itu berkata, ledakan demi ledakan daripada kereta kebal milik rejim Zionis yang menyasarkan kawasan sekitar kediamannya kedengaran sejak beberapa hari lalu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya.

Katanya, mereka tidak dapat keluar dari kediaman kerana tiada lagi tempat untuk dituju dan pada masa sama peningkatan operasi ketenteraan di kawasan sekitar menambah kebimbangannya.

“Kami sudah tidak selamat untuk tinggal di rumah sendiri. Setiap hari bukan sahaja ledakan bom dari udara, bahkan tembakan dari kereta kebal kedengaran di sekeliling.

“Bukan tak mahu berpindah ke kawasan lain tapi di luar juga sudah tidak selamat. Pada masa sama kami tidak ada tempat untuk dituju lagi,” katanya ketika dihubungi sebelum liputan internetnya terputus.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Asmaa sedang menunggu mendapat tajaan biasiswa untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di UKM dalam jurusan sama namun terpaksa melupakan hasratnya disebabkan peperangan antara Palestin – Israel yang meletus sejak 7 Oktober lalu.

Sementara itu, rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang sebelum ini terkandas di Gaza akibat peperangan, melahirkan kebimbangan keselamatan sahabatnya kerana masih terkandas di Kahn Younis yang kini menjadi kawasan operasi tentera Israel.

Menurutnya, dalam perbualannya dengan Asmaa, dia memaklumkan bahawa kawasan sekitar kediamannya hampir tidak berpenghuni kerana ramai terpaksa melarikan diri ke Rafah dan Al-Bahar.

“Asmaa bagitahu yang dia selamat daripada tembakan kereta kebal tentera Israel, tetapi tidak tahu mahu lari ke mana namun mereka sedang berusaha berpindah ke kawasan selamat.

Sementara itu, Nurul Ain memaklumkan bahawa keluarga mentuanya selamat meninggalkan kediaman mereka di Khan Younis dan menetap di rumah kakak iparnya di Al-Bahar.

“Setakat ini keadaan mereka masih selamat kerana kawasan tersebut sememangnya tempat pelarian Palestin mendapatkan perlindungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN