PETALING JAYA: Rakyat perlu bersedia mengubah gaya hidup supaya sesuai dengan pelaksanaan beberapa cukai baharu dan pengenalan subsidi bersasar mulai 2024.
Antaranya melibatkan pelaksanaan cukai jualan 10 peratus terhadap barang import bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian dan bernilai RM500 ke bawah mulai 1 Januari tahun depan
Ini diikuti kenaikan kadar duti eksais kepada 50 sen seliter bagi minuman bergula serta lima peratus duti eksais dan RM27/kg ke atas tembakau kunyah mulai 1 Januari serta penyelarasan 10 peratus cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai bagi syarikat mulai 1 Mac 2024.
Malah, kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus ke atas semua perkhidmatan bercukai kecuali makanan minuman, telekomunikasi, ruang parkir dan logistik yang kekal enam peratus berkuat kuasa 1 Mac 2024.
Ini belum termasuk pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi yang akan
dikenakan pada kadar antara lima hingga 10 peratus ke atas barang tertentu berdasarkan nilai ambang harga barangan mulai 1 Mei 2024.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai yang berpengalaman dalam bidang percukaian dan perakaunan mengakui, pengenalan beberapa cukai dan kadar cukai baharu akan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat di sebalik usaha untuk menaikkan pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, situasi ekonomi pada tahun hadapan juga belum stabil ekoran kedudukan ekonomi negara-negara Barat, konflik Russia-Ukraine dan Palestin-Israel.
“Disebabkan itu, pertumbuhan ekonomi negara mungkin hanya dapat dicapai di bawah lima peratus kerana kos perkhidmatan dan barang masih bergantung kepada import dan ini akan menyebabkan harga naik sedikit pada tahun hadapan berbanding tahun ini.
“Ini juga menyebabkan kenaikan kos sara hidup kerana apabila wujudnya cukai barang mewah dan cukai keuntungan modal, kenaikan harga akan berlaku kerana pemain industri menggunakan kaedah tax shifting yang mengakibatkan barang naik harga,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, situasi pada tahun hadapan mungkin memaksa rakyat untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup.
“Isi rumah perlu mendapat pendapatan tambahan dengan mewujudkan budaya baharu iaitu perniagaan dari rumah sama ada melalui online atau menawarkan barangan dan perkhidmatan untuk menangani kenaikan kos.
“Jadi, kerajaan perlu memastikan harga barang dapat dikawal dan tidak meningkat serta memantau kartel yang menentukan harga di pasaran supaya tidak terus meningkat,” katanya.
Mulai 2024, pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa dan sebahagian hasil penjimatan subsidi akan disalurkan bagi meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Ini melibatkan pelepasan kawalan harga ayam dan telur, subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik dan penyasaran subsidi bahan api diesel.
Penyasaran subsidi dijayakan melalui sistem pangkalan data utama (Padu) yang akan dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu.
Bermula 1 April 2024, data yang dikemukakan dalam sistem itu akan dianalisis bagi menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi manakala mekanisme penyasaran semula subsidi menggunakan data Padu akan diumumkan kerajaan pada pertengahan tahun hadapan.
Dr. Barjoyai menyifatkan, walaupun penarikan balik subsidi dibuat untuk memastikan bantuan disalurkan secara lebih adil dan saksama, namun beliau khuatir dengan peningkatan harga di pasaran.
“Pihak industri menaikkan harga berasaskan kepada kelakuan pengguna dan subsidi ini mungkin akan digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga.
“Pemantauan dan kawalan rapi perlu dilakukan kerana harga sesuatu barang ditentukan oleh peniaga. Apabila mereka mengalami kenaikan kos, ada antara mereka yang akan naikkan harga untuk mendapat keuntungan dan kenaikan harga ini dilihat sengaja dilakukan mereka,” katanya. – UTUSAN










