Suami reda, namun harap tindakan sewajarnya

Suami reda, namun harap tindakan sewajarnya

ISMAIL Mohamad menunjukkan gambar terakhir bersama isterinya, Nadzifah Abu Seman yang terkorban dalam kemalangan di Pokok Sena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suami kepada wanita yang terlibat kemalangan maut bersama ibu mentuanya berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap pemandu lori tanah yang merempuh tiga buah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kolon, Pokok Sena dekat sini, kelmarin.

Ismail Mohamad, 28, berkata, melihat kepada impak kemalangan terbabit, dia meminta siasatan telus dijalankan pihak berkuasa bagi mengetahui punca sebenar kemalangan yang mengorbankan isteri dan ibu mentuanya itu.

“Saya reda dengan pemergian isteri tersayang dan ibu, namun saya tetap berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap pemandu lori itu yang mungkin cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Buat masa ini saya hanya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan pada masa sama mengharapkan ada permohonan maaf daripada pemandu lori terbabit atas apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 9.55 pagi itu, Nadzifah Abu Seman, 28, yang hamil lima bulan bersama ibunya, Romadiah Ismail, 65, meninggal dunia di tempat kejadian setelah Perodua Bezza dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang terbabas dari arah bertentangan.

Lori 10 tan dari arah Alor Setar menghala Pokok Sena itu turut melanggar sebuah Perodua Axia sehingga menyebabkan pemandunya parah dan sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Siasatan awal mendapati, pemandu lori terbabit dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang melintas di hadapannya sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, polis telah selesai mengambil keterangan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, lelaki berusia 48 tahun itu yang turut mengalami kecederaan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan akan ditahan semula setelah kertas siasatan lengkap.

“Tindakan susulan akan diambil setelah kertas siasatan lengkap. Saksi kejadian juga telah dipanggil dan keterangan mereka juga direkodkan bagi membantu siasatan.

“Pemandu terbabit juga masih menerima rawatan dan berkemungkinan akan ditahan semula untuk dituduh di mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN