Suami isteri ditahan bantu siasatan kematian kanak-kanak enam

Suami isteri ditahan bantu siasatan kematian kanak-kanak enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan penunggang e-hailing serta isterinya bagi membantu siasatan berhubung kes anak mereka yang ditemukan meninggal dunia di sebuah flat di Bandar Tun Razak, di sini, pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, suami isteri masing-masing berusia 30-an itu ditahan, kelmarin. 

“Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 13 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

“Dua lagi anak pasangan berkenaan masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun pula dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail. 

Mengulas lanjut, kata beliau, difahamkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun berkenaan (mangsa) dilahirkan pramatang yang menyebabkan dia mengalami beberapa masalah kesihatan.

Terdahulu, media melaporkan punca kematian kanak-kanak perempuan itu adalah disebabkan kekurangan nutrisi. 

Kejadian berlaku ketika bapanya meninggalkan kanak-kanak perempuan itu dalam bilik untuk membeli makanan pada pukul 11.30 pagi, 2 Disember lalu. 

Menurutnya, ketika pulang pukul 2.30 petang, mangsa ditemukan tidak bermaya dan dibawa ke Hospital Tunku Azizah, di sini, untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama dan disyaki terdapat unsur penderaan serta pengabaian oleh penjaga. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN