SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri dan seorang lagi individu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap empat pertuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM49,385, kira-kira tiga tahun lalu.
Tertuduh, Suchart Ee @ Quah, 57, yang juga pengarah syarikat pelaburan dan isterinya, Kamontip Chu @ Chim, 49, kerani di syarikat sama serta bekas pengarah syarikat itu, Mohammad Nahur Azad Ibrahim, 41, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azman Abu Hassan dan Hakim Roslan Hamid.
Ketiga-tiga tertuduh menghadapi satu pertuduhan di hadapan Hakim Azman, iaitu secara bersama menerima wang deposit tanpa lesen yang sah sebanyak RM17,000 daripada Teng Li Fong, 38, di Perdana Height, di sini antara pukul 11.47 pagi hingga 11.52 pagi, 10 November 2020.
Di hadapan Hakim Roslan pula, ketiga-tiga mereka menghadapi tiga pertuduhan secara bersama menerima wang deposit sebanyak RM11,385; RM6,000 dan RM15,000 daripada Li Fong tanpa lesen yang sah di lokasi sama antara 9 Mac hingga 30 September 2020.
Kesemua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah masing-masing menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 16 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.
Mereka turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hamizah Mat Shah dan Zulfadzly Hassan, sementara ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Ummi Kalthum Zakaria. –UTUSAN










