SSM pantau peniaga TikTok

SSM pantau peniaga TikTok

AHMAD Sabki Yusof (tiga kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil penerima Agihan Wakalah Zakat Korporat SSM pada Majlis Perasmian Program Bimbingan Usahawan 2023 (PBU23) Peringkat Negeri Kedah & Perlis (Zon Utara) di Dewan Centennial, Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Semua peniaga termasuk yang menjalankan perniagaan secara dalam talian di media sosial termasuk di TikTok perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang boleh meningkatkan lagi kepercayaan pembeli kepada produk mereka.

Menurut Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof, suruhanjaya itu juga kini giat memantau peniaga di TikTok untuk mengesan mana-mana entiti perniagaan yang tidak berdaftar bagi memastikan kebajikan awam terjaga.

“Sekiranya mana-mana pihak atau individu yang menjalankan perniagaan dalam talian atau fizikal, mereka perlu mendaftarkan perniagaan. Mereka perlu papar nombor pendaftaran atau nama yang mereka daftarkan itu di laman sesawang atau media sosial mereka. Ini memberi bantuan kepada pembeli menyemak tahap kesahihan perniagaan itu.

“Terdapat tahap penarafan dinamakan BizTrust iaitu ada logo yang kita keluarkan untuk peniaga berdaftar menjalankan perniagaan dalam talian. Mereka boleh memaparkan di laman mereka. Ini memberi tambahan pengesahan bahawa mereka merupakan perniagaan berdaftar dan SSM akan memantau serta keluarkan notis jika mereka tidak berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Bimbingan Usahawan 2023 (PBU23) Peringkat Negeri Kedah dan Perlis (Zon Utara) di Dewan Centennial Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini secara keseluruhan sebanyak 346,703 kompaun dikeluarkan dengan nilai RM16.41 juta ke atas peniaga di atas pelbagai ketidak patuhan peraturan ditetapkan SSM.

“Antaranya tidak berdaftar, tidak paparkan logo dan nombor pendaftaran. Pembeli sebenarnya boleh menyemak melalui laman sesawang SSM untuk mengenal pasti adakah entiti perniagaan itu berdaftar atau tidak jadi ia memberi bantuan kepada mereka.

“Memiliki entiti perniagaan yang sah adalah penting untuk memberi keyakinan kepada pelanggan. Selain itu perniagaan yang sah juga membolehkan usahawan merebut pelbagai bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SSM menganjurkan program PBU23 untuk membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan individu dalam menguruskan perniagaan mereka.

“SSM turut menawarkan pendaftaran perniagaan percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang mengecualikan fi pendaftaran dan maklumat perniagaan.

“Sehingga November, sebanyak 90,567 yang terdiri daripada 46,943 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dan 43,624 usahawan kumpulan B40 mendaftar melalui SPPP,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya