PETALING JAYA: Kerajaan digesa menjalankan siasatan terhadap pihak yang mengeluarkan permit untuk syarikat dan ejen pekerja asing tanpa sebarang pekerjaan tersedia untuk golongan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, syarikat dan ejen pekerja asing yang mengeksploitasi warga asing dengan janji kerja palsu mesti dikenakan hukuman lebih tegas kerana mencabuli hak asasi manusia.
Selain itu, katanya, tindakan tersebut sekali gus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap warga asing menyaksikan ramai dalam kalangan mereka berada di negara ini tanpa jaminan pekerjaan.
“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 2,500 daripada pendatang yang ditipu berada di Pengerang. Ini hanyalah sebahagian daripada masalah yang lebih besar.
“Pesalah di sebalik sindiket ini (ejen pekerjaan) mesti bertanggungjawab dan siasatan segera mesti dijalankan ke atas siapa yang mengeluarkan permit ini tanpa pekerjaan tersedia.
“Tanggungjawab dan peranan semua syarikat terbabit harus disiasat untuk menentukan bagaimana pekerja asing yang sah boleh dieksploitasi dan terpikat dengan janji kerja di Malaysia. Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kita tidak boleh bertolak-ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di aplikasi X hari ini.
Semalam, media melaporkan, tular rakaman video memaparkan deretan warga Bangladesh berjalan kaki beramai-ramai di Teluk Ramunia Bayu Damai di sini, sehingga mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan.
Difahamkan, kesemua warga asing itu dikatakan dalam perjalanan membuat laporan polis kerana mendakwa ditipu ejen pekerjaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, video berkenaan dirakam pada 20 Disember lalu yang mana warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk di penempatan tersebut.
Hasil tindakan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun ditahan Rabu lalu untuk siasatan lanjut oleh di atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Media semalam turut melaporkan, Kementerian Sumber Manusia akan membantu sekumpulan warga Bangladesh yang menurut polis dibawa masuk secara sah tetapi tidak diberi pekerjaan selama beberapa bulan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian akan memanggil agensi yang membawa mereka masuk dan majikan yang tertera pada dokumentasi mereka untuk siasatan lanjut minggu ini.
Sementara itu, Azalina turut memuji keprihatinan Chee Keong kerana segera menghulurkan bantuan kepada pekerja asing yang didakwa ditipu oleh ejen pengambilan yang berjanji untuk mendapatkan pekerjaan mereka. – UTUSAN