Setiap KSU diberi tanggungjawab majukan Kampung

Setiap KSU diberi tanggungjawab majukan Kampung

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap Ketua Setiausaha (KSU) kementerian akan diberi tanggungjawab memperkasakan komuniti desa menerusi program Satu KSU Satu Kampung mulai tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, inisiatif itu sejajar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi memajukan kawasan kampung dari segi sosio ekonomi.

“Jadi KSU diberi satu tugasan untuk pilih satu kampung untuk dijadikan (kampung angkat) supaya dia memberi tumpuan bagi memperkasakan komuniti kampung berkenaan.

“KSU terbabit akan membuat kajian, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kampung terbabit supaya boleh melaksanakan apa sahaja gerak kerja yang diperlukan,” katanya ketika sesi temubual di sini semalam.

Mohd. Zuki berkata, pada masa ini, semua KSU sedang mengenal pasti kampung pilihan mereka dan membuat kajian apakah kelemahan dan kekuatan kampung itu untuk ditambah baik termasuk segala kemudahan asas yang diperlukan.

“KSU kena pilih, kemudian membuat kajian apa keperluan kampung terbabit, sama ada bekalan elektrik tak cukup, jalan raya tak lengkap, persatuan belia atau wanita tidak kuat, semua perkara termasuk jika berhasrat menjadikan kampung terbabit sebagai pusat tarikan pelancong pun adalah dibenarkan.

“Malah, kalau mereka (kawasan kampung) nak tanam padi sekali pun, kita akan bantu,” katanya.

Mohd. Zuki berkata, usaha memperkasakan komuniti kampung itu antara fokus Perdana Menteri untuk memajukan kawasan luar bandar.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan bakal memperkenalkan Program Komuniti Madani di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi mendukung usaha memartabat ekonomi komuniti.

Untuk itu, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti Madani bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya