Sempadan sesak, ribuan rakyat Malaysia menyeberang ke Hatyai

Sempadan sesak, ribuan rakyat Malaysia menyeberang ke Hatyai

KENDERAAN dari Malaysia berbaris panjang untuk menunggu giliran menyelesaikan urusan dokumentasi sebelum menyeberangi sempadan antarabangsa ke Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Hujung minggu pada musim cuti persekolahan yang bersambung dengan cuti umum Hari Krismas pada Isnin ini dijangka ‘memeriahkan’ lagi pintu sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand, di sini.

Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati, kenderaan berbaris panjang di kaunter pemeriksaan dan situasi sama dapat dilihat di laluan pengembara yang berjalan kaki atau menaiki bas.

Imigresen Kedah menjangkakan lebih ramai pengembara melalui ICQS Bukit Kayu Hitam untuk masuk ke Thailand terutama yang mahu berkunjung ke Hatyai dan Songkhla pada minggu ini.

Sehingga Selasa lalu, Imigresen merekodkan seramai 78,301 pengembara menggunakan laluan ICQS Bukit Kayu Hitam, sementara 4,379 lagi melalui ICQS Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap untuk ke Thailand sejak Jumaat lalu.

Sementara itu, seorang pelancong dari Batu Pahat, Johor, Mohd. Fauzan Akop, 38, berkata, dia merancang untuk bercuti di Hatyai selama tiga hari dua malam sehingga Ahad ini.

“Saya bertolak dari Johor kira-kira pukul 1 pagi ini sebelum selamat tiba ke Bukit Kayu Hitam sekitar pukul 9 pagi dan terus menyelesaikan urusan dokumentasi di premis menjual insurans untuk membawa masuk kereta ke sana.

“Sebelum Covid-19 dahulu saya pernah menaiki kereta api untuk ke sana melalui Padang Besar tetapi kali ini sengaja cuba memandu bagi melalui pengalaman berbeza,” katanya di sini, hari ini.

Siti Aisyah Budin, 45, dari Perak berkata, dia pertama kali memasuki Thailand untuk bercuti setelah suaminya bersara daripada perkhidmatan tentera beberapa bulan lalu.

“Sebelum ini kami hanya bercuti dalam negara termasuk di Langkawi kerana suami tidak boleh sewenang-wenangnya berkunjung ke luar negara sepanjang berkhidmat.

“Jadi setelah dia kini kembali menjadi orang awam, kami berpeluang untuk bercuti di luar negara walaupun hanya ke Selatan Thailand yang lebih dekat berbanding lokasi lain,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain menasihatkan pengembara untuk merancang waktu perjalanan masing-masing dan menyemak dokumen perjalanan terlebih dahulu bagi mengelak sebarang kesulitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN