Selangor tempah slot ke Piala AFC setelah tumpaskan Kedah

Selangor tempah slot ke Piala AFC setelah tumpaskan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perebutan tempat kedua Liga Super kekal menjadi milik Selangor FC yang menumpaskan pencabar mereka, Kedah Darul Aman FC (KDA) dengan jaringan 1-0 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan dilakar anak-anak buah Tan Cheng Hoe yang berasal dari Kedah sekali gus turut menempah tempat ke saingan Piala AFC musim depan tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir liga.

Kemenangan The Red Giants turut disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berangkat ke bumi jelapang padi bersama lebih 2,000 penyokong The Red Giants.

Perlawanan berlangsung rancak sepanjang 90 minit dengan keazaman KDA untuk mencari gol awal jelas terlihat apabila mereka terlebih dulu melakukan percubaan tepat ke gawang pelawat.

Namun, rembatan leret pemain sayap lincah, J. Partiban seawal minit ke-5 dinafikan ketangkasan penjaga gol Selangor FC, Sam Somerville yang berjaya menangkap bola tersebut.

Tiga minit kemudian, Somerville sekali lagi cemerlang memastikan pintu golnya tidak dibolosi apabila menepis percubaan Ifedayo Olusegun sebelum bingkas bangkit untuk mendakap kemas rembatan susulan dilakukan kapten Sang Kenari, Manuel Ott.

Di sebalik gerakan-gerakan bahaya dilakukan tuan rumah, The Red Giants kembali mempamerkan taring mereka pada minit ke-15 melalui rembatan leret Yohandry Orozco yang bagaimanapun dapat ditepis keluar Kalamullah Al-Hafiz ke sebelah kanan pintu gol.

Dua minit berselang, ketangkasan pemain muda kebangsaan, Mukhairi Ajmal membantunya merampas bola dari kawalan pemain KDA FC. Dia melorong bola kepada Yohandry bagi membolehkan pemain itu melakukan rembatan leret namun Kalamullah sekali lagi menjadi penghalang.  

Perlawanan selepas itu terus berlangsung rancak dengan tuan rumah lebih banyak melakukan asakan. Namun kecemerlangan Somerville termasuk ketika melayangkan badan bagi menepis rembatan deras Amirul Hisyam Awang Kechik dari luar kotak penalti pada minit ke-39, menafikan pintu golnya daripada dibocori.

Pasukan pelawat sekali lagi hadir memberi ancaman seminit sebelum separuh masa pertama tamat menerusi rembatan Yohandry dari dalam kotak penalti. Bola tersebut bagaimanapun terkena kaki pertahanan tuan rumah, Bojan Ciger sebelum singgah tepat ke kaki Kalamullah untuk diselamatkan.

Bersambung babak kedua, KDA FC meneruskan siri ancaman terhadap gawang pelawat. Rembatan lencong Manuel Ott dari luar kotak penalti pada minit ke-49 hanya sedikit tersasar ke kiri pintu gol lawan tanpa dapat dijangkau Somerville.

Namun Selangor seakan mendapat tonik baharu selepas kemasukan Brendan Gan selaku sayap kanan. Pada minit ke-57, hantaran lintang dilakukan Brendan berjaya disambar Noor Al-Rawabdeh namun bola tolakannya tepat kepada Kalamullah yang berada di tengah-tengah gawang bagi menyelamatkan keadaan.

Setelah beberapa percubaan, gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-64 buat Selangor. Hantaran lintang Brendan singgah tepat ke kaki penyerang utama mereka dari Colombia, Ayron Del Valle Rodriguez yang mudah melakukan tolakan menewaskan Kalamullah.

Minit ke-79, KDA FC berpeluang menyamakan kedudukan namun ketangkasan Somerville sekali lagi menghampakan kira-kira 18,000 penyokong yang hadir ke Stadium Darul Aman apabila dia tenang menampan bola tersebut.  

Peluang terakhir KDA FC untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata hadir pada minit terakhir permainan namun tandukan dilakukan Bojan dari dalam kotak penalti tersasar ke kiri, walaupun dia tidak dicabar ketika menerima hantaran lintang dari Manuel Hidalgo. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN