KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa, tindakannya membuat laporan polis kerana mahu membersihkan namanya dalam kes tular rakaman video perbualan berbaur lucah yang dikaitkan dengan Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Katanya, kontroversi klip video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu membuatkannya mengalami tekanan dan trauma.
“Saya buat ini (aduan) pun sebab nak membersihkan nama dan menuntut keadilan,” katanya selepas selesai memberi keterangan kira-kira lima jam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dekat sini, semalam.
Ditanya tentang status jawatannya di J-KOM, Abdul Wahab yang ditemani peguamnya, Faizal Abd. Rahman berkata, dia tidak pasti mengenai kedudukannya.
Sementara itu, Faizal berkata, aduan yang dibuat anak guamnya itu lebih tertumpu kepada ‘Mr. H’ dan perkara-perkara tambahan lain.
‘Mr. H’ adalah individu yang didakwa menjadikan Abdul Wahab sebagai kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus.
Katanya, kali ini skop soalan lebih luas termasuk berkaitan sebelum dan selepas keberadaan Abdul Wahab dalam J-KOM.
Ditanya identiti ‘Mr. H’ yang dimaksudkan, katanya, beliau dan anak guamnya menyerahkan kepada polis untuk mendedahkan individu tersebut.
“Sebagai peguam bagi kes ini, saya berharap satu penyelesaian dapat dicapai berikutan perkara ini memberi nama buruk kepada pihak yang sebenarnya tidak terlibat pada peringkat awal,” katanya. – UTUSAN










