TIDAK keterlaluan kalau penulis sifatkan hubungan artis dan peminat ibarat isi dengan kuku. Keduanya saling memerlukan dan bergantung antara satu dengan lain.
Namun, sedih sebenarnya mendengarkan cerita-cerita kurang manis tentang sikap segelintir artis yang berlagak sombong kepada peminat dan media apabila mereka sudah berada di atas.
Bukan rekaan, peminat sendiri bercerita. Ada segelintir yang diajak bergambar pun payah. Pengamal media tidak kurang berdepan artis yang berperangai sama. Terpancar kesombongan bila diminta mengulas atau menjawab pertanyaan. Bukan semua, tapi ada.
Terpanggil penulis bandingkan perangai segelintir artis baru dengan yang lebih berpengalaman. Tak perlu pergi terlalu jauh, tengok sahaja bagaimana cara penyanyi senior, seperti Anuar Zain dalam menyantuni peminat, pengamal media dan orang sekelilingnya.
Bukan niat nak ‘mendewa-dewakan’ Anuar, tetapi kalau nak disenaraikan artis yang sifatnya terpuji dan cukup baik melayan orang sekeliling, selain Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza, Anuar juga antara orang yang penulis kagumi keperibadiannya.
Sikap inilah yang membuatkan nama-nama ini kekal bertahan. Pernah perkara ini penulis perbincangkan bersama Anuar sebelum ini. Apa sebenarnya rahsia beliau, sampaikan sanggup menolak tepi perasaan sendiri demi menjaga hati bukan sahaja peminat, malah pengkritiknya.
“Kita tak mampu puaskan hati semua orang. Tapi saya hargai peminat, media dan masyarakat yang sejak saya mula-mula menyanyi dahulu, tak jemu-jemu memberikan bukan sahaja sokongan, malah kritikan dan teguran.
“Saya bersyukur ada peminat. Saya berterima kasih atas segala teguran dan komen mereka yang bagi kesedaran untuk kebaikan saya.
“Dan saya ambil positif, biarpun sekiranya saya terima komen yang kasar dari netizen di media sosial. Saya hargai. Ini menandakan, netizen, walaupun mereka bukan peminat kita, tetap prihatin dan mengambil berat,” katanya.
Kongsi Anuar, artis memikul tanggungjawab untuk membahagiakan masyarakat. Tak kiralah, menerusi bakat nyanyian mahupun lakonan.
“Tugas kami adalah untuk menggembirakan orang lain. Sebagai penyanyi, saya bertanggungjawab membawa keluar hati-hati yang lara dari ruang kedukaan menerusi nyanyian dan lagu-lagu saya.
“Sebenarnya apa juga pekerjaan kita, sebagai manusia, kita kena membahagiakan orang lain.
“Kalau saya buat persembahan, saya bagi seikhlas hati. Gembirakan perasaan orang yang menonton kita,” kongsinya.
BUANG EGO, BUKA MINDA DAN AMBIL PENGAJARAN
Itu tips yang Anuar kongsikan untuk berjaya. Kata Anuar, paling penting, singkirkan perasaan ego dan serap teguran untuk kebaikan bersama.
“Dulu, ada peminat yang meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap gaya nyanyian saya yang pada mereka terlalu banyak akrobatiknya. Sampai ada yang datang kepada saya dan tegur dengan cara paling sopan dan beradab.
“Ketika diawal fasa memiliki album dahulu, saya terlalu seronok menyanyi sampai lupa tentang apa yang orang lain ingin dengarkan dalam nyanyian saya.
“Saya ambil nasihat dan buat pembaharuan, menyanyi dalam gaya yang lebih bersederhana. Tidak lagi over sing. Masya-Allah, memang menjadi,” kata Anuar.
Kongsinya lagi, ambillah setiap teguran dan kritikan sebagai tanda orang hargai dan menyayangi. Justeru berlapang dadalah dalam semua perkara.
“Allah gerakkan orang lain untuk menegur kita kerana ada kebaikan yang boleh kita ambil darinya. Tapi, beza-bezakanlah antara (teguran) membina dan yang menjatuhkan kita.
“Saya tak tahu semua perkara. Jadi saya lebih berfikiran terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan orang lain.
“Pada saya, kejayaan juga datang dengan empat perkara. Buang ego, buka fikiran dan timba ilmu pengetahuan,” jelasnya.
Habis –