PARIT: Penduduk di tepi Sungai Perak di sini terkejut dengan keadaan sungai yang cetek ketika musim tengkujuh.
Fenomena itu dikatakan berlaku sejak beberapa hari lalu dan ia dapat dilihat dengan ketara di kawasan rekreasi tumpuan orang ramai yang dikenali ‘padang koba’ di Teluk Bakong, Lambor Kanan dekat sini.
Tinjauan mendapati air sungai cetek sehingga menampakkan beting pasir yang luas hingga ke tengah sungai, keadaan yang biasanya berlaku semasa musim panas.
‘Padang koba’ merupakan padang ragut yang mempunyai pemandangan yang menarik dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem termasuk filem Mat Kilau.
Seorang penduduk Azizan Ahmad Bohan, 73, berkata, keadaan itu tidak pernah berlaku kerana biasanya pada hujung tahun sepatutnya air sungai naik disebabkan musim hujan.
“Kami hairan kerana air sungai makin cetek sehingga nampak beting pasir di kawasan ini. Malah kalau berjalan kaki meredah sungai boleh sampai ke kampung seberang iaitu Kampung Teluk Kepayang.
“Keadaan ini agak pelik kerana biasanya air Sungai Perak naik pada musim tengkujuh di hujung tahun tapi ketika ini air sungai surut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang nelayan sungai, Mohd. Fairus Abdullah, 31, berkata, air sungai yang cetek sehingga menampakkan beting pasir menyukarkan pergerakan bot.
Namun menurutnya, setakat ini keadaan itu tidak menghalang nelayan daripada terus menangkap ikan.-UTUSAN.










